Ahad, 28 November 2021 | 12:36pm
Pasukan JDT meraikan kemenangan ke atas TFC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pasukan JDT meraikan kemenangan ke atas TFC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Hanya nasib malang halang JDT jadi juara

KUALA LUMPUR: Adakah aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini akan menjadi satu perlawanan berat sebelah?

Ia selepas ramai yang menganggap Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan laluan mudah untuk menjinakkan Kuala Lumpur City (KL City) dan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada 2019.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh juga menyifatkan Harimau Selatan memiliki 90 peratus peluang untuk muncul juara Piala Malaysia buat kali ketiga.

Malah, beliau yang lebih dikenali sebagai Shebby berkata hanya 10 peratus kemungkinan JDT boleh gagal di final dan itu pun atas faktor nasib malang, bukannya kerana kekuatan dari KL City.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh. - Foto NSTP
Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh. - Foto NSTP

"JDT pasukan pilihan dari segi corak permainan dan kebolehan individu. Antara dua pasukan ini, memang sukar kalau kita nak cari sebab JDT tak boleh menang.

"Bagi saya 90 peratus (peluang JDT juara), yang 10 peratus lagi nasib malang. Nasib malang sahaja yang boleh menghalang JDT daripada menjadi juara," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Walaupun tidak dianggap sebagai pasukan gergasi dalam Liga Malaysia (Liga M), tetapi persembahan KL City dalam Piala Malaysia musim ini agak luar biasa dan rekod pertemuan mereka dengan JDT dalam Liga Super juga tidaklah terlalu buruk apabila terikat 1-1 di gelanggang sendiri dan tewas tipis 1-2 di Stadium Sultan Ibrahim.

Namun, Shebby yang juga pengulas dan pengkritik sukan bola sepak menegaskan rekod pertemuan dalam liga tidak boleh diambil kira untuk perlawanan di peringkat kalah mati terutama final Piala Malaysia.

"Pasukan Terengganu dalam Liga Super pun kalahkan JDT di Stadium Sultan Ibrahim. Jadi persembahan dalam liga memang tak boleh diambil kira, ia berbeza. Tekanan di final lain, kita tak boleh samakan dengan liga.

"Apa yang harus KL City elak adalah jangan bolos gol minit awal. Sebab JDT memang sudah jadi tabiat mereka akan cari gol awal dan selepas itu mengawal tempo perlawanan.

"Kekuatan JDT pada musim ini lebih kepada berpasukan dan bukannya individu. Semalam (lawan Terengganu FC) tiada Leandro, walaupun beraksi tanpa perancang tapi tetap boleh dapat tiga gol," katanya.

Pemain KL City meraikan kejayaan mara ke final selepas menewaskan Melaka, kelmarin. - NSTP/Syafeeq Ahmad
Pemain KL City meraikan kejayaan mara ke final selepas menewaskan Melaka, kelmarin. - NSTP/Syafeeq Ahmad

Senarai juara Piala Malaysia

2020 - Batal
2019 - JDT
2018 - Perak
2017 - JDT
2016 - Kedah
2015 - Selangor
2014 - Pahang
2013 - Pahang
2012 - Kelantan
2011 - Negeri Sembilan
2010 - Kelantan
2009 - Negeri Sembilan
2008 - Kedah
2007 - Kedah
2006 - Perlis
2005 - Selangor

Berita Harian X