Ahad, 28 November 2021 | 11:40am
Kapten JDT, Farizal Marlias dalam satu aksi bersama JDT sebelum ini. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.
Kapten JDT, Farizal Marlias dalam satu aksi bersama JDT sebelum ini. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

Farizal idam pingat kejuaraan ketiga Piala Malaysia

JOHOR BAHRU: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias berazam memastikan skuad Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut apabila turun berdepan KL City FC pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

"Syukur, Alhamdullilah kita mencapai apa kita sasarkan iaitu beraksi di pentas final Piala Malaysia. Saya gembira dengan komitmen rakan sepasukan yang bertungkus lumus memastikan perjalanan ke Bukit Jalli tidak terhenti selepas beraksi dengan 10 pemain menentang Terengganu FC pada separuh akhir kedua.

"Pada final nanti, kami berdepan pasukan bekas jurulatih JDT yang kini bersama KL City FC dan pastinya ia menarik kerana Bojan (Hodak) tahu serba sikit mengenai pemain JDT. Tapi kami juga tahu kekuatan pasukan lawan dan 90 minit perlawanan kelak bakal menyajikan aksi mendebarkan.

"Kami di JDT mengambil pendekatan setiap perlawanan yang diharungi adalah penting tidak kira pasukan itu kuat atau lemah. Kami tetap menghormati mereka dan aksi final kali ini lebih menarik kerana pada musim lalu saingan piala berprestij tidak dapat dilangsungkan akibat pandemik COVID-19," katanya.

Farizal berkata kelebihan JDT ketika ini adalah memiliki fasiliti bertaraf kelas dunia yang membolehkan pemain melalui proses pemulihan dengan lebih tersusun sekali gus memberi impak positif terhadap mereka untuk kembali berada di tahap kecergasan terbaik.

Ditanya mengenai final Piala Malaysia kali ini, secara peribadi pemain kelahiran Maran, Pahang itu mengakui mahu menambah koleksi pingat kejuaraan buat kali ketiga selepas memenanginya bersama Negeri Sembilan pada musim 2011.

"Final Piala Malaysia pada musim 2017, saya sekadar menjadi penonton selepas di gantung oleh Konfederasi Bola sepak Asia (AFC). Pada musim 2019 saya kembali beraksi dan menjulang kejuaraan piala itu dan kini buat kali kedua berturut-turut ke pentas final.

"Sudah tentu saya mahu tambah koleksi pingat kemenangan bukan sahaja buat diri sendiri tapi untuk JDT kerana kami mahukan kejuaraan itu bagi menutup musim ini dengan gemilang," katanya sambil menganggap KL City FC sebuah pasukan yang mampu melakar kejutan.

Berita Harian X