Sabtu, 27 November 2021 | 10:46pm
Pemain Arsenal, Bukayo Saka (dua kanan) menjaringkan gol pembukaan pasukannya dengan menewaskan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka pada aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates Stadium. - AFP
Pemain Arsenal, Bukayo Saka (dua kanan) menjaringkan gol pembukaan pasukannya dengan menewaskan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka pada aksi Liga Perdana Inggeris di Emirates Stadium. - AFP

Arsenal tambah derita Newcastle

LONDON: Arsenal terus menambah derita Newcastle apabila menewaskan skuad bimbingan Eddie Howe itu 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Newcastle yang diambil alih konsortium dari Arab Saudi kekal di dasar liga tanpa sebarang kemenangan.

Howe yang kembali mengendalikan pasukan selepas tidak bersama pasukan minggu lalu kerana COVID-19 membentuk pasukan untuk cuba mencuri mata ke atas The Gunners.

Strategi itu tampak menjadi sehinggalah Bukayo Saka menyempurnakan hantaran Nuno Tavares pada minit ke-56.

Saka kemudian dikeluarkan kerana kecederaan dan penggantinya, Gabriel Martinelli meledak gol kedua dengan sentuhan keduanya hasil hantaran Takehiro Tomiyasu pada minit ke-66.

Percubaan kedua-dua pasukan singgah di palang pada separuh mata pertama yang berlangsung hambar.

Percubaan jarak jauh Jonjo Shelvey ditepis Aaron Ramsdale sementara percubaan Pierre-Emerick di hadapan gawang gol Newcastle terkena tiang.

Arsenal kekal di tangga kelima EPL sementara Newcastle ketinggalan lima mata daripada zon selamat. -AGENSI

Berita Harian X