Sabtu, 27 November 2021 | 10:36am
Pasukan JDT meraikan kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pasukan JDT meraikan kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Mora teruja layak ke final Piala Malaysia

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora teruja mara ke pentas final Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Lawan JDT selaku juara bertahan adalah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang turut mara ke final piala berprestij edisi ke-100 selepas menang ke atas Melaka United (MU) 5-3 menerusi penentuan penalti sekali gus menyaksikan JDT dan KL City FC akan membuat penentuan terakhir di Stadium Bukit Jalil, Selasa ini.

Bagi Mora, pertembungan menentang skuad kendalian Bojan Hodak dianggap epik memandangkan JDT akan melawan bekas jurulatih pasukan itu yang pernah membimbing skuad Harimau Selatan untuk muncul naib juara piala berprestij pada musim 2014.

"Ia bakal menjanjikan final yang menarik kerana Bojan (Hodak) pernah bersama JDT dan menjuarai Piala Malaysia tapi itu cerita lama dan episod baharu yang saya dan beliau akan hadapi pada Selasa ini.

"Masing-masing tahu kekuatan dan kelemahan yang ada. Buat masa ini saya mahu tumpukan proses pemulihan pemain tatkala aksi final semakin hampir dan kami tidak mempunyai rehat yang mencukupi.

"Ia penting bagi memastikan pemain JDT bersedia menentang KL City FC. Aspek taktikal tidak banyak boleh dilakukan sebaliknya pemain sudah memahami apa yang harus dipratikkan apabila beraksi di padang," kata Mora.

Pengendali JDT, Benjamin Mora. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pengendali JDT, Benjamin Mora. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JDT melakar pencapaian terbaik dalam saingan piala berprestij itu apabila membuat penampilan kali keempat dalam tempoh lapan tahun dengan muncul naib juara pada musim 2014 serta muncul juara pada musim 2017 dan 2019.

Ditanya tentang resipi kejayaan JDT yang menewaskan skuad kendalian Nafuzi Zain 4-1 secara agregat, pengendali kelahiran Mexico itu menegaskan perubahan formasi permainan memberi impak positif dalam tempoh 15 minit pertama di mana tuan rumah meledak tiga gol.

JDT tampil dengan formasi 3-5-2 dan memberi penekanan untuk menyerang bagi memburu gol awal dan ia berhasil menerusi dua gol oleh Bergson Da Silva pada minit keenam dan ke-14 manakala Gonzalo Cabrera pada minit ke-10.

"Tapi memasuki minit ke-15, kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Safiq (Rahim) dilayangkan kad merah dan kami jelas tidak panik tatkala perlu mengharungi 80 minit perlawanan dengan hanya 10 pemain sahaja.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku antara Safiq dan pemain nombor yujuh (Faisal Halim) kerana ia berlaku dengan pantas, sama ada berlaku provokasi yang menyebabkan insiden berkenaan.

"Namun saya enggan menyalahkan Safiq kerana dalam perlawanan berintensiti tinggi emosi pemain pun sama tinggi. Apapun saya memuji komitmen setiap pemain yang tidak gugup dan panik walaupun beraksi dengan 10 pemain sahaja.

"Malah pemain TFC jelas tidak mampu untuk melakukan percubaan berbahaya dan ia membuktikan pemain kami cukup matang mengatasi tekanan dalam perlawanan itu," katanya.

Pemain JDT, Bergson Gustavo (kanan) dan Mauricio Dos Santos meraikan kemenangan JDT. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pemain JDT, Bergson Gustavo (kanan) dan Mauricio Dos Santos meraikan kemenangan JDT. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Berita Harian X