KOLUM APA KATA EPL
Ralf Rangnick. Inilah nama yang menjadi sandaran baru Manchester United bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana Inggeris ( EPL) musim ini.
Ketua Pembangunan dan Sukan kelab Russia, Lokomotiv Moscow ini diikat United selama enam bulan sebagai pengurus sementara dan dua tahun sebagai perunding.
Warga Jerman berusia 63 tahun ini menggantikan Michael Carrick yang sebelum itu dilantik pengurus sementara bagi mengisi tempat Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat pada Ahad lalu.
Menelusuri rekod lalu, memang pengalamannya amat luas dan mengagumkan. Mungkin sebab itu, United begitu pantas terpikat. Namun paling viral setakat ini, sebagai 'sifu' atau 'mahaguru' kepada pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel suatu masa dulu.
Apapun, sama ada Rangnick mampu jadi penyelamat masa depan dan maruah gergasi EPL ini, kita tunggu dan lihat. Yang pasti, dia dijangka tidak sempat mengemudi United apabila berkunjung ke Stamford Bridge lewat tengah malam esok akibat isu permit kerja.
Pertemuan menentang pendahulu liga dan juara bertahan Eropah ini, adalah juga aksi tumpuan minggu ini. Ketika ini, The Blues gah di puncak dengan 29 mata, meninggalkan United ditangga kelapan dengan kelebihan 12 mata.
Sebelum aksi esok, minggu lalu, Chelsea tampil gah membenam Leicester 3-0 manakala Red Devils diaibkan pasukan belasahan, Watford 4-1 yang kemudian membawa kepada pemecatan Solskjaer.
Melihat kepada prestasi semasa skuad Tuchel, kelebihan untuk menang harus milik mereka apalagi pertengahan minggu mudah membelasah kelab gergasi Itali, Juventus 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara. Sedikit motivasi yang dibawa United mungkin kemenangan 2-0 ke atas Villarreal dalam saingan sama ketika ia juga ujian pertama Carrick sebagai jurulatih sementara.
Jadi apa jangkaan untuk aksi ini? Saya masih memilih Chelsea untuk raih mata penuh.
Sementara itu, juara bertahan, Manchester City yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Paris Saint-Germain ( PSG) di Liga Juara-Juara bakal berdepan ujian getir apabila berdepan pasukan paling meningkat, West Ham.
Liverpool pula bagaimanapun harus tiada masalah mengutip mata penuh menyambut kunjungan Southampton manakala Tottenham dibawah bimbingan Antonio Conte perlu bangkit berdepan Burnley selepas dimalukan kelab kerdil, NS Mura 2-1 dari Slovenia dalam saingan Liga Konferens Eropah, kelmarin. Selamat menonton.
Ramalan minggu ini
Arsenal 2-0 Newcastle
C Palace 1-0 Aston Villa
Liverpool 3-1 Southampton
Norwich 1-2 Wolves
Brighton 2-2 Leeds
Brentford 2-0 Everton
Burnley 0-2 Tottenham
Leicester 2-0 Watford
Man City 3-2 West Ham
Chelsea 2-1 Man United