Sabtu, 27 November 2021 | 10:01am
Jurgen Klopp (kanan) menganggap Ralf Rangnick (kiri) antara jurulatih terbaik di Jerman. - Foto AGENSI
Jurgen Klopp (kanan) menganggap Ralf Rangnick (kiri) antara jurulatih terbaik di Jerman. - Foto AGENSI

Rangnick berita buruk buat pesaing - Klopp

LONDON: Jurgen Klopp melaungkan amaran yang ketibaan Ralf Rangnick di Manchester United bakal membawa khabar tidak baik buat pasukan lain di Liga Perdana Inggeris.

Rangnick mencapai persetujuan dengan Red Devils sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim, sebelum menjadi penasihat untuk tempoh dua tahun di Old Trafford.

Pengendali 63 tahun itu pernah dianggap sebagai salah seorang yang terbaik, atau jurulatih terbaik Jerman oleh Klopp, dan Rangnick turut memberi impak dalam karier Thomas Tuchel (Chelsea) serta Julian Nagelsmann (Bayern Munich).

"Malangnya jurulatih hebat akan tiba di England, ke Manchester United. Ralf seorang pengurus yang sangat berpengalaman, membina dua kelab daripada sifar kepada pesaing utama di Jerman bersama Hoffenheim dan RB Leipzig.

"Dia memegang banyak peranan dalam bola sepak tetapi tugas utamanya ialah sebagai jurulatih, pengendali dan itulah kemahiran sebenarnya.

"United akan lebih tersusun di atas padang dan saya rasa kita perlu sedar ia bukan berita baik buat pasukan lain. Namun semua jurulatih memerlukan masa dan Ralf akan menyedari dia tidak mempunyai tempoh mencukupi.

"Selain daripada itu, dia seorang individu yang baik dan jurulatih hebat sekiranya dia datang ke England," kata Klopp. - AGENSI

Berita Harian X