LONDON: Pengendali Tottenham Antonio Conte berkata dia mula menyedari tahap sebenar skuadnya selepas dimalukan dengan kekalahan 2-1 oleh kelab kerdil Slovenia NS Mura dalam saingan Liga Konferens.
Spurs kini perlu menewaskan Rennes di laman sendiri dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G untuk mengelak daripada tersingkir pada kejohanan peringkat ketiga Eropah itu.
Mereka tidak berpeluang untuk mengejar Rennes di tangga teratas dan hanya layak untuk mara ke peringkat 32 terakhir, manakala juara kumpulan akan terus layak ke kelompok 16 terakhir.
Harry Kane salah seorang daripada dua pemain yang dikekalkan daripada skuad yang merakam kemenangan 2-1 ke atas Leeds dalam saingan Liga Perdana Inggeris Ahad lalu.
"Selepas tiga minggu saya mula memahami situasi sebenar. Ia bukan mudah. Pada ketika ini tahap Tottenham tidak terlalu tinggi.
"Saya perlu jujur dan memberitahu anda selepas tiga minggu setengah, saya mula memahami situasi. Saya boleh katakan ia bukan situasi yang mudah.
"Orang mungkin berfikir yang jurulatih baharu sudah tiba dan Conte pernah menang sebelum ini, dan saya adalah ahli silap mata. Namun keajaiban yang saya boleh lakukan hanyalah bekerja," kata Conte.
Tomi Horvat meletakkan tuan rumah di depan sebelum kad merah Ryan Sessegnon menyebabkan Tottenham terpaksa bermain dengan 10 orang untuk sejam terakhir.
Kane menyamakan kedudukan 18 minit sebelum tamat, tetapi Amadej Marosa meledak gol kemenangan NS Mura dalam masa kecederaan. - AFP