Khamis, 25 November 2021 | 10:29pm
Stuart sahkan FIB akan adakan pertemuan bersama Sarawak United esok.
Stuart sahkan FIB akan adakan pertemuan bersama Sarawak United esok.

FIB jumpa Sarawak United esok

KUALA LUMPUR: Unit Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) First Instance Body (FIB) akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Sarawak United, esok berhubung status lesen kelab itu untuk bersaing di Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang turut menjelaskan Sarawak United sudah menyerahkan dokumen diperlukan mengikut tarikh yang diberikan iaitu pada 20 November lalu.

Beliau berkata, segala dokumen yang diserahkan akan dipantau dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat esok.

"Penyerahan (dokumen) sudah berlaku pada 20 November lalu dan unit pelesenan kelab akan mengadakan perjumpaan bersemuka bersama pengurusan Sarawak United mengenai isu pelesenan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran produk barangan set komemoratif edisi terhad 100 tahun Piala Malaysia hasil kerjasama dengan Ninox Idea dan Faidh Jewels di Wisma FAM, hari ini.

Sebelum ini, MFL mengumumkan Sarawak United diberikan lesen kebangsaan bersyarat dengan kelab itu harus menyerahkan dokumen pembayaran atau bukti penyelesaian hutang tertunggak terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri 2021 kepada unit pelesenan kelab MFL selewat-lewatnya pada 20 November lalu.

Selain itu, Stuart turut menjelaskan MFL akan memainkan peranan dalam menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemain Sarawak United dengan mengatur pertemuan antara pengurusan tertinggi kelab berkenaan dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

"MFL sudah berhubung dengan Sarawak United untuk dapatkan tarikh (pertemuan) dan MFL akan memainkan peranan untuk perkara ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat di luar proses perundangan yang boleh mengambil masa lama," katanya.

Berita Harian X