Khamis, 25 November 2021 | 12:59pm
Barisan pemain JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang TFC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok. - Foto ihsan Johor Southern Tigers.
Barisan pemain JDT giat menjalani latihan bagi persiapan menentang TFC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok. - Foto ihsan Johor Southern Tigers.

JDT waspada kebangkitan TFC

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengambil pendekatan berwaspada akan kebangkitan Terengganu FC pada aksi penentu ke pentas final apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Walaupun JDT dillihat memliki kelebihan gol di tempat lawan selepas seri 1-1 dengan skuad kendalian Nafuzi Zain pada aksi separuh akhir pertama tapi pengendali JDT, Benjamin Mora menganggap perlawanan aksi separuh akhir kedua masih terbuka bukan sahaja kepada pasukannya malah skuad TFC yang mampu mencipta kejutan.

Bagi Mora kesilapan pada aksi pertama terutama di 15 minit pertama yang membolehkan anak didik Nafuzi menjaringkan gol bagaikan beri pengajaran berguna buat skuad Harimau Selatan supaya tidak terlalu leka pada permulaan permainan.

"Apa yang berlaku pada aksi separuh akhir pertama, kami sudah mengesan dan ia tidak akan berulang apabila bertemu sekali dengan Terengganu malah pemain juga tampak mahu beri persembahan terbaik untuk tebus semula kesilapan lalu.

"Tidak dinafikan Terengganu adalah pasukan yang baik dan setiap kali menentang mereka ia beri kesukaran kepada kami, namun kami akan berusaha untuk merealisasikan sasaran memburu kemenangan dan pastinya ia pertembungan yang menarik.

"Kami kena berwaspada dengan corak permainan mereka yang gemar menyerang dan pantas, ini menyukarkan kami, malah kombinasi pemain senior dan pemain muda pasukan itu tampak bagus dan sentiasa beri tekanan terhadap benteng JDT," kata Mora.

Pada aksi berintensiti tinggi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lalu, TFC terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi pemain import, Jordan Mintah pada minit kelapan tetapi Bergson Da Silva melegakan kem skuad Harimau Selatan apabila bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-50 untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Mora juga tampak enggan berselindung tatkala optimis JDT mampu melangkah ke final piala berprestij apabila skuad bimbingannya berada di landasan terbaik biarpun kemungkinan tanpa kelibat Leandro Velazquez yang diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning pada aksi menentang TFC, malam esok.

"Jika JDT dapat menjaringkan satu gol lagi dalam aksi timbal balik, TFC memerlukan dua gol tetapi saya optimis barisan pertahanan kami tidak mudah dibolosi.

"Bagaimanapun, baki 90 minit perlawanan tetap kritikal dan pemain JDT yang bakal diturunkan harus memberi persembahan terbaik di depan penyokong sendiri yang akan beri suntikan semangat kepada mereka mempamerkan corak permainan konsisten," katanya.

Berita Harian X