Khamis, 25 November 2021 | 12:50pm

TFC buat persiapan masa tambahan, penalti

KUALA TERENGGANU: Selain aksi sebenar 90 minit, masa tambahan dan sepakan penalti menjadi fokus barisan kejurulatihan Terengganu FC (TFC) menjelang pertemuan separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Inskandar Puteri, malam esok.

Pengendalinya, Nafuzi Zain menjelaskan dalam aksi kalah mati itu, perlawanan berlarutan hingga masa tambahan dan berakhir dengan sepakan penalti adalah situasi biasa berlaku.

Bagaimanapun beliau yang dibantu dengan kepakaran dua bekas kapten kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan dan Rosdi Talib serta jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin mahukan aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu berakhir dalam tempoh 90 minit dengan kemenangan berpihak kepada pasukannya.

Beliau yang pernah membantu pasukan mara ke pentas final Piala Malaysia pada tahun 2018 ketika menjadi penolong jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim, menuntut anak buahnya beraksi bagaikan pentas final.

Katanya, pada aksi yang dijangka berintensiti tinggi itu, pemain perlu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan selain berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora.

JDT mempunyai kelebihan jaringan gol di tempat lawan selepas aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berakhir dengan keputusan 1-1.

"Kita sudah ingatkan pemain supaya sentiasa bersedia dengan tambahan masa dan sepakan penalti kerana pelbagai kemungkinan boleh terjadi lebih-lebih lagi peluang buat kami masih terbuka luas untuk mara ke pentas final.

"Namun jika boleh saya nak habiskan perlawanan pada masa sebenar 90 minit bagi mengulangi pencapaian tahun 2018 yang menundukkan skuad itu dengan agregat 3-2 pada aksi separuh akhir Piala Malaysia," kata Nafuzi.

Pengendali Terengganu FC Nafuzi Zain dan anak buah ketika sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) . - Foto NSTP/Ghazali Kori
Pengendali Terengganu FC Nafuzi Zain dan anak buah ketika sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) . - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X