Rabu, 24 November 2021 | 8:56pm
Pemain pertahanan Melaka United, Khairul Anwar Shahrudin tekad bawa pasukannya ke final Piala Malaysia pada Selasa ini.
Pemain pertahanan Melaka United, Khairul Anwar Shahrudin tekad bawa pasukannya ke final Piala Malaysia pada Selasa ini.

Bentong tekad bawa Melaka United ke final

MELAKA: Pertahanan kiri Melaka United FC, Khairul Anwar Shahrudin melaungkan betapa dia akan berjuang habis-habisan ketika pasukan itu berdepan KL City FC pada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, Jumaat ini.

Turut dikenali sebagai Bentong, beliau tekad untuk membawa skuad Hang Tuah mara ke final buat julung kalinya.

Katanya, apa yang pasti Melaka United memiliki sedikit kelebihan selepas jaringan di tempat lawan pada aksi pertama menerusi penyudah Adriano Narcizo sekali gus mengikat lawan 1-1 di Cheras sebelum ini.

"Memang diakui saingan bukan mudah kerana setiap minit perlawanan penuh dengan debaran dan tentangan sengit daripada lawan yang turut mahu merekodkan kejayaan.

"Justeru, kami akan bermain seperti biasa iaitu kekal fokus, melakukan gerakan dan memburu jaringan mengikut perencanaan pengendali Zainal Abdin Hasan dan barisan kejuruatihan," katanya yang pernah mewakil pasukan DRB Hicom, Sime Darby, Negeri Sembilan dan Terengganu sebelum ini.

Khairul berkata sokongan penonton di laman sendiri juga mampu menyemarakkan semangat pemain Melaka United dalam memenuhi misi getir itu.

Pemain berasal dari Johol, Negeri Sembilan itu juga mengakui ingin merasai nikmat perlawanan akhir dan menganggap ini kesempatan terbaik untuk berbuat demikian selepas mula menyertai skuad Hang Tuah musim lalu.

Berita Harian X