Selasa, 23 November 2021 | 12:39pm
Aksi penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah (kiri) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI
Aksi penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah (kiri) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. NSTP/GHAZALI KORI

Peluang masih terbuka buat TFC ke final

KUALA LUMPUR: Peluang Terengganu FC (TFC) untuk memburu slot ke pentas final Piala Malaysia edisi ke-100 masih terbuka luas walaupun kelebihan tampak sedikit memihak kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Keputusan seri 1-1 menentang pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi tidak akan sesekali 'membunuh' semangat pemain skuad Penyu untuk mencipta kejutan pada aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Malah rekod pertemuan kedua-dua pasukan itu dalam aksi Liga Super musim ini juga seimbang selepas skuad Penyu merakam kemenangan 1-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim sebelum JDT membalas dendam dengan jaringan sama pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain menegaskan, baki 90 minit bakal dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengulangi pencapaian pada 2018 apabila menundukkan skuad Harimau Selatan itu dengan agregat 3-2 juga di peringkat separuh akhir sebelum mara ke final bertemu Perak.

"Bagi saya keputusan seri pada malam ini (malam tadi) masih baik buat pasukan kami, malah peluang buat kami juga terbuka luas untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia kali ini biarpun bakal bertandang ke tempat lawan.

"Pada malam ini (malam tadi), kita sedaya upaya mahu mengelak daripada bolos kerana tidak mahu kelebihan jaringan di tempat lawan milik JDT, tapi perancangan kita tidak menjadi, inilah bola sepak selepas pemain beraksi dengan baik pada babak pertama.

"Namun babak kedua corak permainan sedikit berubah kerana pemain tidak dapat menguasai permainan terutama jentera tengah yang banyak kehilangan bola, walaupun kita tidak berjaya menambah jaringan, tapi pertahanan kita mampu mengekang asakan lawan, ini positif buat pasukan," katanya.

Dalam perlawanan itu, penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini ketika menyarung jersi Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah meledak gol seawal minit kelapan melalui tandukan cantik buat TFC sebelum pemain kelahiran Brazil, Bergson Da Silva menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 43 tahun kelahiran Kelantan itu berkata, beliau yakin anak buahnya mampu bangkit untuk memadam kelebihan satu gol pasukan lawan.

Katanya, keyakinan itu ditambah dengan prestasi pemain mudanya semakin menunjukkan peningkatan, begitu juga dengan pemain senior yang beraksi dengan baik sepanjang 90 minit.

"Tetapi aksi di sana nanti (Stadium Sultan Ibrahim) kita perlu mengamalkan corak permainan menyerang dengan menjaringkan lebih gol untuk memadam kelebihan lawan.

"Kami yakin dan percaya jika semua pemain mengikut perancangan diatur selain pemain berada pada prestasi terbaik ketika itu, keputusan positif mampu dicapai sebagaimana musim 2018," katanya.

Berita Harian X