Ahad, 21 November 2021 | 9:23pm
Melaka United FC menjalani latihan terakhir di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras petang tadi menjelang aksi separuh akhir pertama bertemu KL City FC di gelanggang berkenaan malam esok. - Foto ihsan Facebook Melaka United FC.
Melaka United FC menjalani latihan terakhir di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras petang tadi menjelang aksi separuh akhir pertama bertemu KL City FC di gelanggang berkenaan malam esok. - Foto ihsan Facebook Melaka United FC.

Melaka dalam prestasi terbaik jumpa KL City

MELAKA: Melaka United (MU) berada dalam prestasi terbaik untuk berdepan Kuala Lumpur City (KL City) dalam saingan pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam esok.

Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata anak buahnya sudah bersedia memberikan yang terbaik dalam perlawanan berkenaan dengan sasaran meraih bekalan selesa menjelang aksi kedua pada Jumaat ini.

Katanya, pemeriksaan semua pemain dalam sesi latihan petang semalam mendapati mereka berada dalam keadaan baik dan bebas daripada kecederaan bagi menghadapi perlawanan getir berkenaan.

"Walaupun beraksi di gelanggang tanpa penonton, ia tidak mengubah skrip kedua-dua pasukan kerana kerana sudah biasa bermain tanpa penyokong. Justeru, fokus setiap minit perlawanan perlu menjadi keutamaan.

"Dalam masa sama, komitmen dan kecemerlangan mereka sepanjang saingan peringkat kumpulan dan suku akhir diyakini mampu dikekalkan kerana tekad dan semangat pemain juga membara untuk beraksi lebih baik daripada sebelumnya,"katanya.

Zainal Abidin membayangkan tidak akan mengubah barisan pemain yang ada dalam perlawanan berkenaan berdasarkan kecemerlangan dalam aksi sebelum ini selain pemain sudah memahami corak permainan masing-masing.

Baginya, gandingan import Brazil, Giovane Gomes dan Adriano Narcizo bersama Sony Norde (Haiti) serta Manuel Ott (Filipina) dan pemain tempatan lain mampu memberi tekanan buat KL City kali ini di bawah bimbingan Bojan Hodak.

Melaka kini mengintai peluang kali pertama mara ke final selepas berjaya menyamai rekod 38 tahun ke separuh akhir kali ini.

Berita Harian X