Ahad, 21 November 2021 | 9:21pm
 Penyerang KL City, Romel Morales (kiri) bersama rakan sepasukan ketika meraikan kejayaan memenangi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di Cheras. - Foto ihsan Facebook Kuala Lumpur City.
Penyerang KL City, Romel Morales (kiri) bersama rakan sepasukan ketika meraikan kejayaan memenangi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC di Cheras. - Foto ihsan Facebook Kuala Lumpur City.

Morales tekad robek gawang Melaka United

KUALA LUMPUR: Penyerang KL City, Romel Morales tekad mahu meneruskan sentuhan jaringan yang dimilikinya pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Melaka United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini untuk membuka peluang skuad City Boys ke final.

Berada di kedudukan teratas carta penjaring Piala Malaysia musim ini selepas meledak 10 gol, pemain dari Colombia itu bagaimanapun menegaskan fokus utamanya adalah untuk membantu pasukan dan bukan meraih gelaran penjaring terbanyak.

"Sudah pasti saya mahu menjaringkan gol, tapi saya hanya mahu menjaringkan gol untuk membantu pasukan ke final, bukan kerana saya mahu jadi penjaring terbanyak.

"Kami mahu berada di final kerana kami sudah bekerja keras sepanjang musim ini dan saya fikir kami berhak mendapatkkannya," katanya.

Pencapaian cemerlang Morales itu sebenarnya turut disumbang pengendali KL City, Bojan Hodak yang berani menukar posisi asalnya dari pemain tengah kepada jentera serangan.

Namun, KL City berdepan sedikit kekurangan untuk berdepan Melaka United di gelanggang sendiri apabila perlawanan akan berlangsung tanpa penonton susulan hukuman yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ia selepas tindakan penyokong mereka menceroboh kawasan padang ketika suku akhir kedua berdepan Selangor di gelanggang sama, Khamis lalu.

Hodak bagaimanapun enggan memikirkan mengenai aksi tanpa penonton, sebaliknya lebih memberi fokus untuk persembahan pasukan di atas padang.

"Kami tidak kalah di gelanggang sendiri dalam tempoh yang lama dan ia mungkin memberi sedikit kelebihan kepada kami," katanya.

Berita Harian X