Sabtu, 20 November 2021 | 2:13pm
Liverpool dan Arsenal akan membuat perhitungan dalam saingan EPL di Anfield awal pagi esok. - Foto ihsan Evening Standard.
Liverpool dan Arsenal akan membuat perhitungan dalam saingan EPL di Anfield awal pagi esok. - Foto ihsan Evening Standard.

Arsenal mampu tambah derita Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

Bersua semula selepas hampir dua minggu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berehat bagi memberi laluan kepada aksi kelayakan Piala Dunia. Bagi saingan EPL minggu ke-12 ini, saingan sudah pasti tertumpu kepada aksi antara Liverpool dan Arsenal di Anfield.

Sebelum pertemuan pada awal pagi esok, kedua-dua pasukan hanya dibezakan dua mata dengan The Reds di tempat keempat dan Gunners, kelima. Aksi ini sangat penting buat kedua-dua pasukan meraih mata penuh.

Bagi Liverpool, ia perlu menang selepas dimalukan West Ham 3-2 di Stadium London pada aksi terakhir 8 November lalu. Malah sebelum itu, mereka juga hilang dua mata selepas diikat Brighton 2-2 di Anfield.

Kemenangan sudah pasti akan menyemarakkan kembali peluang skuad Jurgen Klopp untuk bersaing merebut kejuaraan liga ketika mereka sudah ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Chelsea selepas 11 perlawanan.

Bagi Arsenal pula, kemenangan di Anfield akan membuktikan kebangkitan mereka sebelum ini bukan kerana nasib kerana sebelum ini, dianggap berdepan pasukan sederhana dan lemah sebaliknya menerusi strategi mantap pengendali Mikel Arteta.

Sebelum berkunjung ke Anfield, Gunners berdepan 'mimpi ngeri' termasuk dimalukan Manchester 5-0, sebelum bangkit dengan enam kemenangan berturut-turut dan dua kali seri untuk menduduki tangga kelima liga.

Selepas melakukan kebangkitan luar biasa untuk menepis segala tanggapan negatif, mereka kini mahu mengejar tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Dan kemenangan ke atas Liverpool awal pagi esok, akan melengkapkan impian Arteta dan skuadnya.

Mengikut rekod lalu, Liverpool memenangi semua lima aksi terakhir di laman sendiri dan menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol. Sejak Klopp mengambil alih Reds, Arsenal hanya menang sekali daripada 11 pertemuan iaitu ketika menang 2-1 di Emirates pada Julai 2020.

Dengan rekod dipamerkan itu, mampukah Liverpool memenangi pertemuan ini atau sebaliknya, ia menjadi milik Arsenal? Kita tunggu dan lihat, namun penulis tetap melihat skuad Arteta ada kelebihan mencalar rekod cemerlang lawannya itu.

Sementara itu, Chelsea dijangka mampu mengubati duka diikat Burnley 1-1 dalam aksi terakhir apabila berkunjung ke Stadium King Power bertemu Leicester malam ini untuk sekali gus mengukuhkan kedudukan di persada liga.

Manchester City yang memalukan jirannya, Manchester United, 2-0 di Old Trafford sebelum ini dijangka berdepan kesukaran apabila menyambut kunjungan Everton yang dibimbing Raphael Benitez malam esok.

United pula harus tiada masalah berdepan Watford di Stadium Vicarage Road malam ini untuk melupakan kekecewaan diaibkan City tatkala Ole Gunnas Solksjaer terus dihimpit kemungkinan dipecat. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Leicester 1-2 Chelsea

Newcastle 1-1 Brentford

Burnley 1-1 C Palace

Aston Villa 2-1 Brighton

Watford Man 1-3 United

Wolves 0-2 West Ham

Norwich 0-2 Southampton

Liverpool 1-2 Arsenal

Man City 1-1 Everton

Tottenham 2-1 Leeds

Berita Harian X