Selasa, 26 Oktober 2021 | 8:50am
Pertahanan Liverpool Andy Robertson memberi amaran kepada Cristiano Ronaldo selepas penyerang Manchester United itu menyepak Curtis Jones. - Foto AFP
Pertahanan Liverpool Andy Robertson memberi amaran kepada Cristiano Ronaldo selepas penyerang Manchester United itu menyepak Curtis Jones. - Foto AFP

Robertson berang tindakan Ronaldo

LONDON: Cristiano Ronaldo membuatkan Andy Robertson berang selepas pemain Manchester United itu menyepak Curtis Jones ketika kekalahan 5-0 kepada Liverpool di Old Trafford.

Ketika pasukannya ketinggalan 4-0 di babak pertama, bintang Portugal itu gagal mengawal perasaannya dan menyepak Jones dalam masa kecederaan sebelum rehat.

Ia menimbulkan kemarahan pemain-pemain Liverpool, terutamanya Robertson yang meluru ke arah Ronaldo dan memarahi pemain 36 tahun itu.

Pengadil Anthony Taylor sekadar melayangkan kad kuning kepada Ronaldo.

Selepas rehat, Liverpool semakin bersemangat dan Mohamed Salah melengkapkan hatrik. Robertson dirakam berkata kepada pemain Mesir itu: "Teruskan, teruskan! Tiada belas kasihan!"

Legenda Liverpool Jamie Carragher merasakan bekas pasukannya memenangi perlawanan berkenaan tanpa bermain pada potensi sebenar mereka.

"Saya tidak rasa Liverpool berada pada tahap terbaik mereka. Tetapi setiap kali mereka melepasi benteng United, mereka (tuan rumah) kucar-kacir.

"Nikmati saat ini, anda tidak akan mengalaminya lagi. United dan Liverpool mungkin seteru terbesar di dunia, tetapi anda tidak akan mendapat lagi peluang seperti ini," kata Carragher. - AGENSI

Berita Harian X