Jumaat, 22 Oktober 2021 | 4:20pm
Aksi pemain Negeri Sembilan FC, Nasrullah Hanif Johan (dua kiri) ketika bersaing dengan pemain Kelantan United FC (KUFC) pada saingan Piala Malaysia di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, awal bulan ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar.
Aksi pemain Negeri Sembilan FC, Nasrullah Hanif Johan (dua kiri) ketika bersaing dengan pemain Kelantan United FC (KUFC) pada saingan Piala Malaysia di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, awal bulan ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar.

Negeri Sembilan tarik diri daripada Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Malang menimpa juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Malaysia musim ini yang dijadualkan disambung semula pada 29 Oktober ini.

Ia gara-gara empat pegawai dan 20 pemain skuad itu disahkan dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin wajib di rumah sambil dipantau Kementerian Kesihatan (KKM) selama 10 hari.

NSFC dalam kenyataan, hari ini, menjelaskan ujian pengesanan COVID-19 secara berterusan sedang dilakukan bagi kontak rapat pemain dan pegawai yang terbabit.

"Demi menjaga keselamatan semua pihak serta mengambil berat di atas nasihat yang diberikan oleh doktor pasukan, pihak NSFC ingin memohon setinggi-tinggi kemaafan kepada penyokong pasukan kerana hal ini turut menyebabkan pembatalan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan pada 20 Oktober 2021.

"Pasukan Negeri Sembilan FC tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia untuk musim 2021. Pihak NSFC juga berharap agar penyokong memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan pemain dan pegawai pasukan," kata kelab itu.

Berdasarkan peraturan baharu ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dalam mana-mana pasukan dan jika keseluruhan individu dalam pasukan itu diarah kuarantin, kemenangan percuma akan diberikan kepada pasukan lawan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan peraturan itu terpaksa diperkenalkan susulan tempoh masa singkat untuk menghabiskan saingan Piala Malaysia musim ini selain terdapat kontrak pemain juga akan berakhir pada November ini.

NSFC berada di kedudukan ketiga Kumpulan C dengan mengumpul tiga mata selepas mengharungi dua perlawanan dan mereka sepatutnya menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 29 Oktober ini.

Justeru, dengan pengumuman dari NSFC itu menyaksikan hanya tinggal KDA, Melaka United dan Kelantan United yang akan meneruskan baki saingan musim ini dalam Kumpulan C.

Berita Harian X