Jumaat, 22 Oktober 2021 | 12:18pm
Penyerang Paris Saint-Germain, Lionel Messi (kanan) dan Kylian Mbappe dijangka sekali lagi akan digandingkan bagi berdepan Marseille dalam Ligue 1 awal pagi Isnin ini. - AFP
Penyerang Paris Saint-Germain, Lionel Messi (kanan) dan Kylian Mbappe dijangka sekali lagi akan digandingkan bagi berdepan Marseille dalam Ligue 1 awal pagi Isnin ini. - AFP

PSG, Messi berdepan tugasan berat di Marseille

PARIS: Lionel Messi akan merasai persengketaan terbesar dalam bola sepak Perancis awal pagi Isnin ini apabila pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain akan berkunjung ke Marseille.

Beberapa jam selepas kelab lama Messi, Barcelona bertemu Real Madrid dalam aksi Clasico, pemain Argentina itu akan turun ke padang dekat Velodrome bagi saingan dilabelkan sebagai "Le Classique."

Ia permusuhan bermula awal 1990an apabila Marseille bergelar pasukan handalan dalam bola sepak Perancis serta Eropah.

Hari ini, PSG yang dimiliki Qatar kembali menerajui Perancis walaupun mereka menyerahkan kedudukan Ligue 1 musim lalu kepada Lille dan persembahan tidak begitu meyakinkan dalam kempen kali ini.

Mereka menang tujuh daripada lapan saingan dalam semua kejohanan dan hanya tewas sekali kepada seteru utama itu sepanjang dekad lalu.

Kekalahan 1-0 dekat Paris berlaku hampir setahun lalu di stadium kosong akibat pandemik COVID-19 musim lalu.

Kali ini akan ada penonton penuh dekat Velodrome ketika PSG mahu melebarkan kelebihan mereka kepada 10 mata berbanding Marseille yang berkedudukan ketiga bersama satu perlawanan dalam tangan.

Messi meledak dua kali buat PSG ketika mennag 3-2 mengatasi RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini.

Semua gol diciptanya di Paris dihasilkan pada saingan Eropah. Dan dia bermain lebih banyak dalam Liga Juara-Juara berbanding Ligue 1.

Kylian Mbappe yang turut meledak ketika berdepan Leipzig, menjadi tonggak utama buat Mauricio Pochettino musim ini ketika Neymar bergelut bagi mendapatkan kembali prestasinya. - AFP

Berita Harian X