Rabu, 20 Oktober 2021 | 11:18pm
Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menewaskan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei 12-21, 21-9, 21-18 dalam aksi pusingan pertama Terbuka Denmark. - Foto AGENSI
Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menewaskan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei 12-21, 21-9, 21-18 dalam aksi pusingan pertama Terbuka Denmark. - Foto AGENSI

Zii Jia cemas sebelum menang

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei dalam aksi pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, tewas 12-21 di set pertama sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-9, 21-18 sekali gus menempah slot ke pusingan kedua.

Dia akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain profesional negara, Liew Daren dengan pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus bagi merebut tempat ke suku akhir, esok.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut melangkah ke pusingan kedua apabila tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Belanda, Ruben Jille-Ties Van Der Lecq 21-17, 21-9.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan bertemu gandingan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito dalam aksi pusingan kedua.

Dalam pada itu, tiga lagi wakil negara membabitkan satu beregu lelaki, Goh V Shem-Low Juan Shen serta dua beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Berita Harian X