Selasa, 19 Oktober 2021 | 10:00pm
Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika beraksi bersama Juventus menentang Atalanta dalam saingan Serie A pada Disember tahun lalu.
Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika beraksi bersama Juventus menentang Atalanta dalam saingan Serie A pada Disember tahun lalu.

Berita buruk Ronaldo buat United

MANCHESTER: Cristiano Ronaldo hanya menewaskan Atalanta sekali dalam kariernya - termasuk gagal menyempurnakan penalti berdepan pasukan itu ketika bersama Juventus.

Pemain berusia 36 tahun itu berdepan Atalanta sepanjang tiga tahun di Serie A, namun gagal menewaskan pasukan itu dalam empat pertemuan liga.

Ini pasti menjadi berita buruk memandangkan United akan berdepan skuad bimbingan Gian Piero Gasperini dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Pertemuan terdahulu antara Ronaldo berdepan pasukan dari Bergamo itu menghasilkan 18 gol dalam enam perlawanan.

Empat daripadanya menerusi Serie A dan dua dalam saingan Coppa Italia.

CR7 turut meledak tiga gol menentang skuad La Dea itu dan menjaringkan gol pada pertembungan pertama menentang mereka iaitu gol penyamaan untuk menjadikan kedudukan 2-2 pada Disember 2018.

Pertemuan seterusnya menyaksikan Juventus tewas 3-0 pada aksi Coppa Italia disusuli seri 1-1 dalam Serie A dengan Ronaldo gagal menjaringkan gol.

Dia meledak dua gol dalam pertemuan seterusnya pada Julai 2020 namun terus kempunan untuk menang apabila perlawanan berakhir 2-2.

Satu lagi keputusan 1-1 terhasil pada Disember 2020 namun Juventus dikecewakan Pierluigi Gollini yang menyelamatkan sepakan penalti Ronaldo.

Ronaldo akhirnya merasai kemenangan ke atas Atalanta pada final Coppa Italia yang berakhir dengan keputusan 2-1, Mei lalu.- AGENSI

Rekod Cristiano Ronaldo menentang Atalanta

Perlawanan: 6

Menang: 1

Seri: 4

Kalah: 1

Gol: 3

Penalti gagal disempurnakan: 1

Berita Harian X