Isnin, 18 Oktober 2021 | 8:40pm
Pemain Leicester, Caglar Soyuncu (depan) menghalang kemaraan Ronaldo pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu. - EPA
Pemain Leicester, Caglar Soyuncu (depan) menghalang kemaraan Ronaldo pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu. - EPA

Penyokong United mula kecam Ronaldo

LONDON: Kepulangan Cristiano Ronaldo ke Old Trafford sudah mula seakan menjadi tragedi selepas Manchester United bergelut untuk meraih kemenangan.

Penyerang ikonik itu dikritik selepas penyokong mempersoalkan persembahan Ronaldo ketika pasukan itu tewas 4-2 di tangan Leicester, Sabtu lalu.

Pemain berusia 36 tahun itu kembali selepas meninggalkan Old Trafford selama 12 tahun - dan meledak lima gol dalam enam perlawanan pertama.

Namun, dia kemarau jaringan sejak Oktober dan prestasinya mula dipertikaikan dalam kalangan penyokong The Red Devils.

Penyokong 'thenextantman' menulis di Twitter 'Ronaldo mencetuskan banyak masalah dan menyelesaikan sedikit sahaja. Jika dia terus bermain seperti itu, tidak mengejutkan kalau dia akan dihantar keluar pada Januari nanti.'

Pengguna 'Jnz2001' menambah 'realitinya adalah dia akan berusia 37 tahun kurang daripada enam bulan lagi. Dia masih boleh menjaringkan gol tetapi berapa banyak lagi yang boleh dia lakukan untuk memenangi perlawanan?'

Penyokong jelas meluat dengan persembahan Ronaldo yang tampak kurang bermaya apabila kehilangan bola dan keengganan dia melakukan tekanan kepada pemain lawan di bahagian atas.

Namun, ada penyokong yang mendakwa ia adalah disebabkan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer dan bukannya salah pemain legenda nombor tujuh itu.

Penyokong '@Adzz_7' berkata 'dia memerlukan pemain tengah. United tiada taktik, mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan. Lihat bagaimana Liverpool dan City bermain apabila mereka mendapat bola. United perlu membuang Ole.'

'Sage_Prolific' menambah 'Ronaldo bukan masalahnya, Ole yang tidak mempunyai taktik.' -AGENSI

Berita Harian X