Sabtu, 9 Oktober 2021 | 9:24pm
De Paula (tengah) masih gagal memikat hati penyokong Harimau Malaya.
De Paula (tengah) masih gagal memikat hati penyokong Harimau Malaya.

De Paula 'glamor' tak kena tempat

KUALA LUMPUR: Guilherme De Paula boleh dianggap pemain paling 'glamor' dalam skuad kebangsaan ketika ini selepas namanya sentiasa berada di bibir peminat setiap kali dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya.

Perjalanan De Paula 'mencipta nama' bersama skuad kebangsaan bermula sejak kali pertama pemain naturalisasi itu dipanggil jurulatih, Tan Cheng Hoe pada Mei lalu menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berstatus pemain import, harapan besar diletakkan peminat ke atas bahu De Paula sebagai penggempur utama buat skuad kebangsaan dengan dia meledak gol sulung ketika Harimau Malaya tewas 1-4 dalam perlawanan latihan berdepan Kuwait pada hujung Mei lalu.

Namun, malang buat De Paula apabila dia gagal mempamerkan persembahan yang diharapkan sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu dan hanya meledak satu gol menerusi sepakan penalti ketika Harimau Malaya tewas 1-2 di tangan Vietnam.

Kempen kelayakan itu mungkin boleh dianggap detik hitam buat De Paula apabila harapan besar peminat berubah sekelip mata dengan penyerang berusia 34 tahun itu dikritik teruk peminat khususnya di media sosial.

Malah, ada yang mencadangkan status warga negaranya ditarik balik dan tidak kurang juga yang menuntut Cheng Hoe tidak lagi menyenaraikannya untuk tugasan bersama Harimau Malaya.

Cheng Hoe bagaimanapun tetap masih memberi peluang buat De Paula membuktikan kemampuan bagi kem latihan pusat kali ini termasuk mengharungi dua aksi persahabatan berdepan Jordan dan Uzbekistan, malam ini.

Kekalahan 0-4 Harimau Malaya di tangan Jordan, Rabu lalu menyaksikan De Paula turut menerima tempias kritikan walaupun dia dilihat berusaha untuk melakukan sesuatu sebelum dibawa keluar pada babak kedua.

Bagi Cheng Hoe, beliau mengakui bukan mudah untuk De Paula menyesuaikan diri bersama skuad kebangsaan jika dibandingkan dengan beberapa pemain lain yang sudah lama bersama Harimau Malaya seperti Aidil Zafuan Abd Radzak. "Tujuan aksi persahabatan ini untuk beri peluang kepada pemain baharu dan mencari pemain yang betul-betul boleh diserap ke dalam skuad kebangsaan bagi kejohanan Piala Suzuki AFF dan kelayakan Piala Asia.

"Kalau kita lihat De Paula masih lagi nak cari keserasian dan mencari momentum bersama pasukan. Bukan mudah untuk mana-mana pemain bermain di pentas antarabangsa.

"De Paula baru sahaja bersama skuad kebangsaan berbanding Aidil yang jelas nampak ada kelebihan dari segi pengalaman dan dia sudah lama bersama pasukan, begitu juga Baddrol (Bakhtiar).

"Kita akan lihat sejauh mana De Paula mampu sesuaikan diri dalam skuad kebangsaan dan kalau kita perlu tukar dia bermain sebagai penyerang, kita perlu tukar juga dan beri peluang kepada pemain lain kerana keutamaan kepada pasukan, bukan individu," katanya pada sidang media, semalam.

Melihat kepada aksi berdepan Jordan, adakah De Paula harus dipersalahkan sedangkan dia langsung tidak mendapat peluang untuk menjaringkan gol terutama selepas jentera tengah tampak gagal berfungsi dengan baik?

Berita Harian X