Sabtu, 2 Oktober 2021 | 11:02am

Peluang pemain baharu, simpanan pikat Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Ketiadaan ramai tonggak berstatus bintang dalam pasukan kebangsaan kali ini dilihat menjadi peluang keemasan buat muka baharu dan kurang peroleh peluang berada dalam skuad utama sebelum ini, tampil menonjolkan diri masing-masing.

Paling ketara adalah di bahagian pertahanan apabila beberapa 'kereta kebal' terkuat skuad Harimau Malaya sebelum ini seperti La'Vere Corbin-Ong, Matthew Davies dan Dion Cools tidak berada dalam senarai untuk kem latihan pusat yang bermula semalam.

Bercakap kepada BH Sukan, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut mengakui kem latihan pusat kali ini menjadi medan untuk beliau mencari pemain terbaik yang boleh menjadi pengganti atau pelapis dalam skuad utama kebangsaan pada masa akan datang.

"Kalau boleh kita nak ramai lagi pemain (baharu) supaya kita ada pilihan untuk skuad utama nanti. Ia kerana kadang-kadang berlaku masalah kecederaan atau prestasi semasa (tonggak utama) tidak begitu baik, jadi kita perlukan banyak pilihan.

"Kita tahu Corbin-Ong dan Davies sudah selalu bersama pasukan kebangsaan dan kita harap pemain baru yang di panggil seperti Quentin (Cheng Jiun-Hoq) dan Arif Fadzilah (Abu Bakar) mendapat pendedahan dan melihat sama ada mereka sesuai atau layak bersama pasukan pada masa hadapan nanti.

"Kita nak cari pengganti, kita tak boleh harapkan 100 peratus (kepada pemain utama sedia ada). Kalau bermain dalam kejohanan kompetitif, penggantungan dan kecederaan boleh berlaku, jadi kita perlu ada pengganti yang boleh galas tugas dengan baik," katanya.

Sebelum ini, Cheng Hoe tidak menyenaraikan ramai pemain utama seperti Corbin-Ong, Davies, Farizal Marlias, Safawi Rashid dan Mohamadou Sumareh bagi kem latihan kali ini bagi memberi ruang kepada pemain baharu membuktikan kemampuan.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin, mengumumkan Cools bersama Syahmi Safari dan Akhyar Rashid terpaksa digugurkan pada saat akhir dari kem latihan kali ini akibat masalah kecederaan.

Susulan itu, Cheng Hoe memanggil pemain muda, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin bagi menggantikan Akhyar di bahagian serangan dan dua pertahanan, Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Cools dan Syahmi.

Tidak hanya kem latihan biasa, skuad Harimau Malaya akan mengharungi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan tiga hari selepas itu dengan kedua-dua aksi akan berlangsung di Amman, Jordan.

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam. - Foto ihsan Facebook FAM.
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam. - Foto ihsan Facebook FAM.
Berita Harian X