Isnin, 27 September 2021 | 9:58pm
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer perlu menang kejuaraan musim ini jika tidak mahu dipecat. - EPA
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer perlu menang kejuaraan musim ini jika tidak mahu dipecat. - EPA

Solskjaer bakal dipecat jika tiada trofi

LONDON: Teddy Sheringham percaya Ole Gunnar Solskjaer akan dipecat sekiranya Manchester United gagal menang trofi musim ini.

Solskjaer mendapat sokongan penuh musim panas ini ketika kelab berkenaan menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho serta Raphael Varane dan dia berdepan tekanan serius bagi mendapatkan kejuaraan.

United bertarung bagi mendapatkjan tiga gelaran membabitkan Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara selepas disingkirkan pada Piala Liga di tangan West Ham minggu lalu.

Mereka juga tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir selepas tumbang 1-0 di laman sendiri kepada Aston Villa yang jelas menambah tekanan buat pengurus mereka.

Dan legenda Old Trafford, Sheringham bimbang bekas rakan sepasukannya itu akan hilang jawatannnya jika gagal menamatkan kemarau sejak 2017.

"Tidak diragui lagi ada tekanan terhadapnya tahun ini untuk menang sesuatu. Jika dia tidak menang sesuatu, dia sudah tahu nasibnya," kata Sheringham kepada Sportsmail.

"Mereka mendapatkan nama besar seperti Varane dan Sancho. Itu sepatutnya sudah mencukupi tetapi Ronaldo pula datang, United berjaya mendapatkannya dan sekarang mereka mahu keputusan yang baik.

"Ole ialah pengurus yang masih muda dan dia mencari pengalaman ketika menjalankan tugas. Pada tahap tertinggi, dia hanya tahu United dan sukar untuk meninggalkan tugas berkenaan. Saya rasa dia meningkat tetapi dia perlu membawanya ke satu lagi tahap di atas.

"Saya rasa semua orang mahu dia melakukannya dengan bagus, mereka mahu dia melakukannya dengan bagus kerana dia legenda Manchester United.

"Itu memberikannya satu cabaran tetapi anda perlu sedar, dia perlu menang sesuatu." - AGENSI

Berita Harian X