Ahad, 26 September 2021 | 11:07pm
Pemain Penang FC, Muhammad Danial Ashraf Abdullah bersaing bersama pemain Sarawak United FC, Taylor Francis George Regan pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. NSTP/MIKAIL ONG

Sarawak kejutkan Penang, Sri Pahang tersungkur

KUALA LUMPUR: Wakil Liga Perdana, Sarawak United FC muncul pasukan pertama melakar kejutan di pentas Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan pasukan tangga ketiga Liga Super, Penang FC 3-1 pada aksi Kumpulan A di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Beraksi di atas padang becak, skuad kendalian E Elavarasan yang juga naib juara Liga Perdana berada di depan hasil jaringan menarik Uche Agba pada minit ke-47.

Khair Jones kemudian meledak gol kedua Sarawak United pada minit ke-54 selepas menyudahkan umpanan Sandro Da Silva sebelum Penang merapatkan kedudukan menerusi Al Hafiz Harun, dua minit kemudian.

Permainan terus rancak apabila hanya dua minit selepas itu, Agba kembali meletakkan Sarawak United dalam keadaan selesa apabila meledak gol ketiga pada minit ke-58.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Kuala Lumpur City FC (KL City) turut memulakan kempen Piala Malaysia musim ini dengan langkah kanan apabila menewaskan Sri Pahang FC 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Pemain Kuala Lumpur City FC, Mohd Safee Sali (tengah) bersaing dengan Pemain Sri Pahang FC, Herold Mark Goulon (kanan) pada perlawanan TM Piala Malaysia 2021 peringkat kumpulan A di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto Hazreen Mohamad

Daniel Thing membuka jaringan buat skuad City Boys selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Safee Sali pada minit ke-19.

Skuad kendalian Bojan Hodak menambah dua lagi jaringan menerusi Romel Morales minit ke-47 dan 73, sebelum Sri Pahang memperoleh gol pertama selepas pemain KL City, Giancarlo Gallifuoco tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-79.

Kedudukan itu kekal hingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan KL City melebarkan rekod kemenangan ke atas Sri Pahang selepas turut memenangi dua pertembungan dalam Liga Super musim ini.

Berita Harian X