Ahad, 26 September 2021 | 1:14pm
Kpah Sherman yakin KDA FC mampu melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini. - Foto ihsan KDA FC
Kpah Sherman yakin KDA FC mampu melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini. - Foto ihsan KDA FC

Semua sama kuat - Sherman

ALOR SETAR: Penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kpah Sherman menganggap pesaing dalam Kumpulan C Piala Malaysia mempunyai kekuatan seimbang.

Naib juara Liga Super, KDA FC berdepan Melaka United dan dua pasukan Liga Perdana, Kelantan United FC (KUFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) di peringkat kumpulan.

Penyerang skuad kebangsaan Liberia itu yang meledak 13 gol dalam aksi Liga Super berkata, persediaan rapi daripada segi mental amat penting sepanjang saingan Piala Malaysia.

"Kami tidak sesekali akan pandang mudah keupayaan mana-mana pasukan yang akan kami hadapi walaupun pasukan berkenaan dari Liga Perdana.

"Dalam saingan Piala Malaysia semua pasukan boleh melakukan kejutan. Malah kami tetap menganggap pasukan NSFC dan KUFC dalam kumpulan C ini sebagai pasukan yang setara seperti pasukan Liga Super dan mampu memberi cabaran sengit buat kami.

"Jadi kami perlu persiapkan kekuatan mental dan beri fokus yang terbaik sepanjang semua aksi yang akan berlangsung dalam kumpulan C nanti bagi memastikan momentum terbaik dapat kami kekalkan," kata Sherman.

Sherman berjanji akan memberikan seratus peratus bagi memastikan kejayaan Kedah dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

"Selepas saya pulang daripada aksi kelayakan Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Liberia baru-baru ini, misi saya seterusnya adalah menyumbang gol untuk Kedah.

"Saya yakin skuad Kedah memiliki peluang yang baik untuk melangkah ke peringkat seterusnya berdasarkan kualiti serta kemampuan semua rakan sepasukan termasuk pemain muda," katanya.

Berita Harian X