Ahad, 26 September 2021 | 11:22am
Saingan Piala Malaysia 2021 akan membuka tirainya malam ini.
Saingan Piala Malaysia 2021 akan membuka tirainya malam ini.

Penang, KL, Selangor, TFC dijangka 'mengaum' awal

KUALA LUMPUR: Kehangatan Piala Malaysia musim ini sudah pun dirasai dengan empat perlawanan dari Kumpulan A dan B, malam ini bakal menjadi aksi pembuka tirai sambutan ulang tahun ke-100 trofi berprestij itu.

Bagi Kumpulan A, pasukan tangga ketiga Liga Super, Penang FC akan menerima kunjungan naib juara Liga Perdana, Sarawak United FC di Stadium Bandaraya, manakala Kuala Lumpur City FC (KL City) pula melayan Sri Pahang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Fokus peminat bola sepak tempatan pasti lebih tertumpu kepada aksi Penang dan Sarawak United untuk melihat sama ada skuad Harimau Kumbang mampu meneruskan persembahan cemerlang seperti dipamerkan dalam Liga Super selain persoalan keupayaan skuad E Elavarasan memberi saingan kepada wakil dari liga tertinggi.

Atas kertas, segalanya tampak lebih memihak kepada Penang termasuk memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selain memegang status pasukan kelompok tiga terbaik Liga Super.

Namun, kemampuan Sarawak United sebenarnya tidak boleh dipandang mudah kerana status naib juara Liga Perdana membuktikan mereka juga bukan calang-calang pasukan selain turut dibarisi ramai pemain berpengalaman.

Aksi KL City dan Sri Pahang pula tampak lebih seimbang walaupun skuad Tok Gajah dilihat bergelut dalam Liga Super musim ini berbanding skuad City Boys yang berada pada prestasi lebih baik.

Manjadi satu-satunya pasukan Liga Super yang tidak pernah tewas di gelanggang sendiri musim ini, jelas KL City bukan lawan yang mudah untuk dijinakkan Sri Pahang.

KL City menjadi pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan, malam ini dengan melihat faktor prestasi semasa dan rekod pertemuan sebelum ini yang mana anak buah Bojan Hodak memenangi kedua-dua aksi berdepan Sri Pahang dalam saingan liga musim ini.

Bagi Kumpulan B, aksi Selangor FC berdepan Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dijangka lebih menarik walaupun skuad Bos Gaurus dijangka menjadi 'mangsa' pertama Red Giants di pentas Piala Malaysia musim ini.

Jika mengambil kira rekod pertembungan dalam Liga Super musim ini yang mana kedua-duanya memihak kepada Selangor dan ditambah pula masalah prestasi dihadapi Perak sepanjang musim ini, Red Giants tiada masalah untuk meraih tiga mata pertama.

Kelibat penyerang berbisa Selangor yang juga penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun sekali lagi boleh menjadi mimpi ngeri buat Bos Gaurus dengan pemain berusia 30 tahun itu meledak lima gol dalam dua pertembungan dengan Bos Gaurus dalam liga musim ini.

Meskipun peluang kecil diletakkan ke atas Perak, namun tidak mustahil sekiranya Bos Gaurus boleh mencipta kejutan luar biasa terutama selepas memberi isyarat titik kebangkitan mereka ketika menewaskan Sabah FC pada aksi terakhir Liga Super, 12 September lalu.

Sementara itu, satu lagi aksi Kumpulan B bakal menemukan pasukan tangga keempat Liga Super, Terengganu FC (TFC) dan wakil Liga Perdana, Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Walaupun berdepan prestasi tidak menentu di penghujung liga musim ini, TFC dilihat tidak berdepan masalah memulakan kempen mereka di kejohanan tertua Asia Tenggara itu dengan langkah kanan dengan mengambil kira reputasi yang dimiliki skuad Penyu.

Ramalan

Penang 2 Sarawak 0

KL City 2 Sri Pahang 1

Selangor 3 Perak 0

TFC 2 Kuching City 0

Berita Harian X