Ahad, 26 September 2021 | 10:19am
Pemain Manchester United Bruno Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa di Old Trafford. - Foto AFP
Pemain Manchester United Bruno Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa di Old Trafford. - Foto AFP

Solskjaer persoal pengadil, Martinez

MANCHESTER: Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer mempersoalkan keputusan pengadil dan VAR serta berang melihat sikap penjaga gol Aston Villa Emiliano Martinez ketika tewas 1-0 di Old Trafford.

Solskjaer tidak berpuas hati jaringan minit ke-88 Aston Villa diiktiraf pengadil walaupun penyerang Ollie Watkins berada dekat dengan penjaga gol David de Gea ketika Kortney Hause menanduk masuk bola ke gawang United.

Situasi sama berlaku hujung minggu lalu di Brighton apabila Leicester City dinafikan gol penyamaan kerana Harvey Barnes menghalang penglihatan penjaga gol Robert Sanchez.

"Anda boleh lihat keputusan tidak konsisten sekali lagi, VAR dan pengadilan," kata Solskjaer yang sebelum perlawanan semalam turut menyalahkan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp susulan United semakin kurang mendapat sepakan penalti.

Watkins berada dekat atau menyentuh De Gea ketika Hause menanduk bola sepakan sudut. VAR dirujuk tetapi jaringan berkenaan kekal.

Solskjaer juga tidak berpuas hati dengan sikap Martinez sebelum Bruno Fernandez gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam masa kecederaan.

Fernandes terpaksa menunggu hampir dua minit sebelum mengambil sepakan yang melambung tinggi, apabila pemain-pemain Villa mengerumuni kawasan sepakan dan Martinez menunjuk ke arah Cristiano Ronaldo untuk mengambil sepakan.

"Saya tidak suka cara mereka mengerumuni pengadil dan titik penalti serta cuba mengganggunya. Ia berkesan untuk mereka tetapi tidak sedap dipandang," katanya.

Lebih malang buat United apabila pertahanannya Luke Shaw dan Harry Maguire terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. - AGENSI

Berita Harian X