Sabtu, 25 September 2021 | 7:03pm
Perubahan jadual Piala Malaysia 2021 babitkan Kumpulan C.
Perubahan jadual Piala Malaysia 2021 babitkan Kumpulan C.

MFL pinda jadual Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk meminda perlawanan kelima dan keenam saingan Piala Malaysia membabitkan aksi Kumpulan C.

Ia membabitkan aksi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Melaka United FC (MUFC), Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kelantan United FC (KUFC).

Badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelak pertembungan venue Kelantan FC dan Kelantan United FC yang berkongsi Stadium Sultan Muhammad ke-IV sebagai gelanggang bagi perlawanan keenam.

"Seperti semua pihak sedia maklum perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan dijalankan secara serentak bagi kelayakan ke peringkat suku akhir.

"Sehubungan itu, MFL memutuskan untuk meminda perlawanan C9 (NSFC berdepan KUFC), C10 (MUFC menentang KDA FC), C11 (KUFC bertemu KDA FC) dan C12 (NSFC melawan MUFC)," kata MFL dalam kenyataan, hari ini.

Mengikut jadual terbaharu yang dikeluarkan MFL, aksi C11 yang menemukan KUFC dan KDA FC akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV pada 6 November.

Pada tarikh sama juga akan berlangsung perlawanan C12 yang membabitkan pertembungan NSFC dan MUFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Aksi C9 antara NSFC dan KUFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman pula akan berlangsung pada 9 November manakala perlawanan MUFC dan KDA FC juga akan berlangsung pada tarikh sama di Stadium Hang Jebat.

Berita Harian X