Sabtu, 25 September 2021 | 3:33pm
Gambar fail - Safawi Rasid antara pemain JDT yang tidak dipanggil Tan Cheng Hoe menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 1 Oktober ini. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Safawi Rasid antara pemain JDT yang tidak dipanggil Tan Cheng Hoe menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 1 Oktober ini. - Foto BERNAMA.

'Bukan kerana JDT tak lepas'

KUALA LUMPUR: Tan Cheng Hoe tampil memperjelaskan mengenai tindakannya tidak memanggil ramai tonggak utama ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bulan depan yang mencetuskan pelbagai persoalan khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Ada yang menganggap keputusan dibuat ketua jurulatih skuad kebangsaan itu sebagai 'pelik' selain mempersoalkan perancangan sebenar beliau kerana skuad yang dipanggil nanti akan berdepan pasukan ranking ke-93 dunia, Jordan dan Uzbekistan (ke-84 dunia).

Malah, ada juga dakwaan menyatakan bekas pengendali Kedah itu tidak memanggil pemain 'bintang' terutama ramai dari Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana tidak mendapat pelepasan kelab itu bagi mengelak pemain mereka tercedera untuk menghadapi saingan Piala Malaysia.

Cheng Hoe dalam jawapannya menegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali sambil menjelaskan senarai pemain dipanggil diputuskan barisan kejurulatihan selepas mengambil kira semua faktor terutama dalam memberi impak positif kepada pembentukan skuad lebih mantap pada masa akan datang.

"Itu (dakwaan JDT tak lepaskan pemain) pandangan atau andaian masing-masing, tapi kami barisan jurulatih dan pengurusan sentiasa berbincang mana satu yang terbaik untuk pasukan.

"Kita pun nak jaga imej negara juga, kita bukan tak ambil berat mengenai mana-mana pemain," kata Cheng Hoe kepada BH Sukan, semalam.

Dalam senarai 24 pemain dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin, beberapa tonggak utama seperti penjaga gol, Farizal Marlias selain Safawi Rasid, La'Vere Corbin-Ong, Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies tidak dipanggil Cheng Hoe bagi latihan pusat kali ini.

Cheng Hoe berkata, perkara paling utama bagi kem latihan kali ini adalah untuk menguji pemain baharu atau muda sebagai persediaan bagi membentuk skuad mantap menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 hujung tahun ini dan kelayakan Piala Asia tahun depan.

"Pemain seperti Safawi dan pemain yang sudah biasa bersama skuad Harimau Malaya, kita sudah tahu kemampuan mereka dalam pasukan kebangsaan.

"Kali ini kita bagi peluang bakat baharu dicuba untuk bermain di peringkat antarabangsa lawan Jordan dan Uzbekistan yang mana bukan calang-calang pasukan.

"Jadi ini adalah satu ujian terbaik pemain baharu atau pemain yang sudah lama tidak bersama skuad kebangsaan," katanya.

Berita Harian X