Isnin, 20 September 2021 | 10:50am
Pemain tengah Manchester United Jesse Lingard (tengah) meraikan jaringan selepas meledak gol kemenangan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London. - Foto AFP
Pemain tengah Manchester United Jesse Lingard (tengah) meraikan jaringan selepas meledak gol kemenangan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London. - Foto AFP

Lingard bangkit tebus kesilapan

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer memuji Jesse Lingard yang bangkit daripada kesilapan ketika tewas kepada Young Boys dengan meledak gol kemenangan ke atas kelab lamanya West Ham.

Lingard masuk menggantikan Cristiano Ronaldo di Bern, dan hantaran ke belakang untuk penjaga gol David de Gea dipintas Jordan Siebatcheu.

Pemain 28 tahun itu sekali lagi bermula di bangku simpanan ketika menentang West Ham, dan kali ini dimasukkan pada minit ke-73 menggantikan Paul Pogba.

Ketika permainan seakan berakhir seri, Lingard menggelecek masuk ke dalam kotak penalti dan melencongkan bola melepas Lukasz Fabianski untuk kemenangan 2-1 United.

"Anda perlu belajar hidup dalam keadaan suka dan duka. Dia meminta maaf selepas aksi Selasa dan semua orang merasakan ia tidak perlu.

"Dia masuk hari ini dan beraksi cemerlang. Ia gol yang hebat. Saya gembira untuk Jesse.

"Sudah tentu dia mengharungi saat sukar pada Selasa, tetapi dia bangkit dan bekerja keras semula.

"Saya gembira untuknya. Hantaran yang cantik daripada Nemanja (Matic) dan gerakan menarik daripada Jesse.

"Saya rasa kami bermain dengan baik di babak pertama, tetapi kami perlu bertahan dengan lebih baik," kata Solskjaer. - AGENSI

Berita Harian X