Ahad, 19 September 2021 | 8:04pm
 Pemain Selangor FC dari Myanmar, Hein Htet Aung. - Foto ihsan Facebook Selangor FC.
Pemain Selangor FC dari Myanmar, Hein Htet Aung. - Foto ihsan Facebook Selangor FC.

Htet Aung paling banyak catat bantuan gol Selangor

KUALA LUMPUR: Reputasi pemain Myanmar, Hein Htet Aung jelas tidak dapat diragui selepas pemain berusia 19 tahun itu muncul pemain terbanyak melakukan bantuan gol buat Selangor FC (SFC) dalam kancah Liga Super.

Meskipun lambat menyertai skuad utama berikutan beraksi bersama skuad pembangunan, Selangor FC II (SFCII) pada awal musim, namun 'ubi' muda Myanmar itu berjaya merakam enam bantuan gol buat The Red Giants.

Dengan dia turut mencetak tiga bantuan gol dalam Liga Perdana, ini menyaksikan bekas pemain Hanthawaddy United itu merekodkan sembilan bantuan gol dalam kempen sulungnya di Liga Malaysia (Liga M).

Penjaring terbanyak Liga Super dengan 26 gol, Ifedayo Olusegun juga membuktikan dia bukanlah peledak gol semata-mata apabila turut membantu rakan sepasukannya menjaringkan empat gol pada musim ini.

Gaya pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun ketika perlawanan Liga Super 2021. - Foto Aswadi Alias
Gaya pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun ketika perlawanan Liga Super 2021. - Foto Aswadi Alias

Dua lagi pemain tengah, Brendan Gan dan Oliver Buff juga merekodkan empat bantuan gol pada musim ini. Pemain sayap, Norhakim Hassan pula membantu tiga jaringan, diikuti penyerang tempatan, Shahrel Fikri Md Fauzi dengan dua bantuan gol.

Lapan pemain masing-masing membantu satu gol iaitu Wan Zack Haikal, Jordan Ayimbila, Danial Asri, Alif Haiqal, Tim Heubach, Sean Selvaraj, Mukhairi Ajmal dan A Namathevan.

Sebagai rekod, SFC di bawah bimbingan Karsten Neitzel muncul pasukan kedua meledak gol terbanyak dalam Liga Super (45 gol) di belakang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mencetak 50 gol.

Berita Harian X