Sabtu, 18 September 2021 | 12:14pm
Ronaldo (kanan) bersama rakan sepasukan, Harry Maguire (tengah) dan Luke Shaw menjalani latihan di Carrington pada Khamis, menjelang aksi bertemu West Ham di Stadium London, malam esok. Foto ihsan Facebook Manchester United FC.
Ronaldo (kanan) bersama rakan sepasukan, Harry Maguire (tengah) dan Luke Shaw menjalani latihan di Carrington pada Khamis, menjelang aksi bertemu West Ham di Stadium London, malam esok. Foto ihsan Facebook Manchester United FC.

Adakah United akan dikejutkan lagi?

KOLUM APA KATA EPL

Kemenangan 4-1 ke atas Newcastle minggu lalu dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), harus paling menyeronokkan penyokong Manchester United. Ia bukan saja menyaksikan penampilan kedua Cristiano Ronaldo selepas 12 tahun berkelana, malah dia turut meledak dua gol.

Old Trafford bagaikan histeria ketika perlawanan itu. Dan kegembiraan berkenaan turut dikongsi jutaan lagi penyokong Red Devils di segenap pelusuk dunia pada hari itu. Namun selang empat hari selepas itu, suasana berkenaan pantas bertukar kepada sebaliknya.

Juara liga Switzerland, Young Boys mengejutkan skuad United dari mimpi indah di Bern dalam saingan Liga Juara-Juara. Mereka mengajar anak buah Ole Gunnar Solskjaer agar jangan cepat lupa diri apabila mengaibkan jaguh Inggeris itu, 2-1.

Kekalahan itu jelas bukan saja meninggalkan impak besar kepada United terutama Solskjaer, malah penyokong mereka di mana juga berada yang sehingga semalam, teruk menjadi mangsa `troll' penyokong pasukan lawan.

Malam esok, United akan kembali ke pentas EPL dengan berkunjung ke Stadium London bertemu West Ham dengan harapan untuk bangkit. Rekod lalu menunjukkan United memenangi dua aksi terakhir menentang skuad The Hammers.

Red Devils tentunya berharap pencapaian musim lalu itu berulang lagi bagi memastikan persada liga kekal milik mereka selepas lima aksi. Mampukah calon juara liga ini menjulang semula maruahnya yang tercalar ketika lawannya itu masing-masing menang dan tewas dua aksi lalu?

Dalam pada itu, aksi tumpuan minggu ini adalah membabitkan pertembungan antara dua pasukan berjiran di London - Tottenham dan Chelsea. Minggu lalu, Spurs dimalukan Crystal Palace 0-3 manakala The Blues mudah menjinakkan Aston Villa, 3-0.

Seperti juga United, skuad Thomas Tuchel menghimpun 10 mata selepas empat aksi untuk menduduki tempat kedua manakala Tottenham di tangga ketujuh dengan sembilan mata. Rekod lalu menunjukkan Spurs tewas dalam empat daripada enam aksi terakhir tetangga London.

Dengan Chelsea membara selepas menewaskan Zenit St Petersburg 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara, mereka dijangka mampu menundukkan Spurs sekali lagi, yang terikat 2-2 menentang Rennes dalam saingan Liga Konferens Europa, kelmarin.

Juara bertahan Manchester City yang berpesta gol ke 6-3 atas RB Leipzig dalam aksi Liga Juara-Juara, dijangka tiada masalah menewaskan Southampton di laman sendiri malam ini, manakala Liverpool yang membenam AC Milan di Anfiled, 3-2 harus juga mengutip mata penuh apabila menyambut kunjungan Palace malam ini. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Newcastle 2-2 Leeds

Wolves 1-0 Brentford

Norwich 1-2 Watford

Burnley 0-1 Arsenal

Man City 3-0 Southampton

Liverpool 3-0 C Palace

Aston Villa 1-3 Everton

Brighton 0-2 Leicester

West Ham 1-4 Man United

Tottenham 0-2 Chelsea

Berita Harian X