Jumaat, 17 September 2021 | 3:19pm
Stuart sahkan hanya 10 pasukan Liga Perdana bertanding musim depan.
Stuart sahkan hanya 10 pasukan Liga Perdana bertanding musim depan.

Hanya 10 pasukan bertanding di Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan hanya 10 pasukan yang bakal bertanding dalam divisyen kedua Liga Malaysia, Liga Perdana musim depan.

Ia susulan Perak FC II menjadi 'korban' disingkirkan ke Liga M3 selepas pasukan 'abang' mereka, Perak FC jatuh ke Liga Perdana musim depan.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata keputusan berkenaan dibuat berikutan 'Reserve Team', Perak FC II tersingkir secara automatik ke saingan Liga M3 selepas 'Parent Club', Perak FC turun pangkat bermain di Liga Perdana 2022.

Beliau berkata, Liga Bolasepak Amatur (AFL) juga sudah membuat pengumuman pembatalan Liga M3 pada 14 September lalu yang menyaksikan tiada pasukan daripada liga berkenaan dapat dipromosikan ke Liga Perdana secara merit pertandingan.

"Perak FC secara rasmi tersingkir daripada kejohanan Liga Super pada musim depan akan bermain di Liga Perdana 2022 di mana Parent Club dan Reserve Team tidak boleh bersaing dalam satu kejohanan yang sama selaras Peraturan 3.19.6 Perkara 1.1 dan 1.2.

"Format Liga Perdana sebelum ini menampilkan 12 pasukan tetapi MFL juga mengambil maklum dengan pengumuman pembatalan Liga M3 yang dilakukan oleh AFL pada 14 September lalu di mana pembatalan kejohanan itu menyaksikan tiada pasukan yang boleh dipromosikan ke Liga Perdana secara merit pertandingan.

"Sehubungan itu, MFL akhirnya mencapai satu keputusan iaitu pertandingan Liga Perdana bagi musim 2022 akan menampilkan jumlah 10 pasukan sahaja dalam satu liga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Liga Perdana musim depan akan menampilkan Kuching City FC, Johor Darul Ta'zim II, Terengganu FC II, Selangor FC 2, PDRM FC, Kelantan United FC, Kelantan FC, Skuad Projek FAM-MSN diikuti pendatang dari Liga Super, Perak FC dan UiTM FC.

Sementara itu, dua pasukan teratas Liga Perdana musim ini, Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC sudah mengesahkan kemaraan mereka bertanding dalam kempen Liga Super 2022.

Berita Harian X