Khamis, 16 September 2021 | 7:11pm
TFC menjadi pilihan bagi Kumpulan B saingan Piala Malaysia, namun dijangka berdepan laluan getir untuk mara. - Foto ihsan Facebook TFC.
TFC menjadi pilihan bagi Kumpulan B saingan Piala Malaysia, namun dijangka berdepan laluan getir untuk mara. - Foto ihsan Facebook TFC.

TFC akui laluan getir menanti aksi Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU: Laluan berliku dijangka menanti Terengganu FC (TFC) bagi melepasi saingan peringkat kumpulan dan seterusnya layak ke suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Diundi dalam Kumpulan B yang disifatkan sebagai 'kumpulan maut' bersama dua bekas juara, Selangor FC, Perak FC dan pasukan tempat ketiga Liga Perdana, sudah pasti mencabar buat skuad Nafuzi Zain walaupun aksi dalam pentas liga lebih memihak kepada mereka.

Ini diakui pengurus pasukan, Zulfadli Rozi yang menjangkakan skuad TFC bakal berdepan laluan getir untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam saingan tertua di Asia itu yang memasuki edisi ke-100 musim ini.

"Tiada laluan mudah, sebaliknya tugas mencabar buat pemain kerana berada bersama-sama dua pasukan yang mempunyai sejarah dan rekod cemerlang dalam saingan Piala Malaysia iaitu Selangor FC yang memiliki rekod juara sebanyak 33 kali dan Perak FC.

"Benar, TFC pernah menundukkan dua pasukan itu dalam aksi pusingan pertama dan kedua liga musim ini, tapi kita perlu realistik kerana suasana dan cabaran trofi ini begitu berbeza berbanding Liga Super.

"Tambahan pula, pasukan ketiga Liga Perdana kemungkinan besar Kuching City FC (KCFC). Jadi sudah pasti saingan lebih menarik apabila Nafuzi bakal berdepan dengan bekas sifunya, Irfan Bakti Abu Salim.

"Jadi kita tidak boleh mengambil mudah dan mengambil kira keputusan sebelum ini sebaliknya pemain perlu lebih bersedia dan berwaspada dalam setiap perlawanan," katanya semalam.

Mengenai sasaran pasukan, Zulfadli mengakui mana-mana pasukan sudah pasti mahukan trofi lebih-lebih lagi ianya menjamin tiket untuk beraksi dalam pentas Piala AFC musim depan.

"Kami faham peminat setia ingin melihat pasukan mara ke pentas final dan seterusnya merebut satu lagi slot ke AFC. Tapi kita perlu bersikap realistik dalam hal ini. Oleh sebab itu kami menyasarkan untuk mara ke separuh akhir terlebih dahulu sebelum mengintai peluang ke final," katanya.

Berkaitan perubahan tonggak import pula, Zulfadli menyerahkan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan.

Katanya, isu pinjam pemain import sebenarnya tidak timbul kerana kita ada sistem 'feeder club' yang digunakan dalam kempen Liga Super dan percaya Nafuzi sudah ada perancangan untuk menurunkan barisan terbaik memandangkan jadual piala ini begitu padat.

Musim lalu TFC layak ke peringkat suku akhir, namun terpaksa menerima hakikat kejohanan terpaksa dibatalkan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Berita Harian X