Ahad, 12 September 2021 | 11:11pm
Pemain Selangor, Ifedayo Olusegun (jersi merah) diasak pemain PJ City ketika aksi Liga Super menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. PJ City menang 2-1. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.
Pemain Selangor, Ifedayo Olusegun (jersi merah) diasak pemain PJ City ketika aksi Liga Super menentang PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. PJ City menang 2-1. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.

Ifedayo menang Kasut Emas, UiTM jinak Sri Pahang

PETALING JAYA: Kasut Emas Liga Super sah menjadi milik Ifedayo Olusegun selepas penyerang berbisa Selangor FC (SFC) itu berjaya meledak 26 gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Namun jaringan ke-26 yang dilakukan penyerang dari Nigeria itu tidak cukup untuk membantu The Red Giants yang tewas 1-2 di tangan PJ City FC pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan The Red Giants tewas buat kali pertama selepas enam perlawanan sekali gus terlepas peluang menamatkan saingan musim ini di tangga keempat.

Apapun, pencapaian itu boleh dianggap memberangsangkan apatah lagi selepas mengambil kira musim pertama mereka di bawah kendalian jurulatih baharu, Karsten Neitzel.

Pada aksi terbabit, PJ City FC lebih agresif apabila beberapa kali menjana gerakan dan berjaya mendahului selepas Khyril Muhymeen Zambri berjaya menanduk masuk gol pertama PJ City FC hasil sepakan sudut pada minit ke-20.

Bagaimanapun, tuan rumah mengikat kedudukan di penghujung babak pertama apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan Ifedayo untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, Darren Lok gagal menyempurnakan sepakan penalti buat PJ City FC pada minit ke-47 sebelum pemain gantian, Syahmi Zamri meledak gol kemenangan pelawat menerusi percubaan jarak jauh pada minit ke-62.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi di Stadium UiTM Shah Alam, UiTM FC mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super dengan bergaya apabila menewaskan Sri Pahang FC 1-0.

Namun kemenangan itu tidak cukup untuk melayakkan mereka ke saingan Piala Malaysia memandangkan Perak FC meraih kemenangan 2-1 ke Sabah FC sekali gus beroleh slot terakhir ke saingan berprestij itu.

Jaringan kemenangan disumbangkan Kwon Yong Hyun menerusi sepakan penalti pada minit ke-25 untuk kemenangan ketiga mereka pada musim ini.

Berita Harian X