Ahad, 12 September 2021 | 7:15am
Robert Lewandowski (kanan) meraikan jaringannya bersama Benjamin Pavard (kiri) selepas menjaringkan gol pembukaan Bayern ketika menentang RB Leipzig.
Robert Lewandowski (kanan) meraikan jaringannya bersama Benjamin Pavard (kiri) selepas menjaringkan gol pembukaan Bayern ketika menentang RB Leipzig.
Aksi Robert Lewandowski meledak gol ketika menentang RB Leipzig. - Foto AFP
Aksi Robert Lewandowski meledak gol ketika menentang RB Leipzig. - Foto AFP
Reaksi pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann. - Foto AFP
Reaksi pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann. - Foto AFP

Lewandowski meledak lagi

LEIPZIG: Robert Lewandowski terus mengganas apabila meledak gol keenam hanya dalam empat perlawanan Bundesliga ketika Bayern Munich membelasah RB Leipzig 4-1, pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan juara bertahan berkenaan terus menghambat pendahulu, Wolfsburg dengan kurang dua mata di belakang selepas mengumpul 10 mata daripada empat aksi.

Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama sebelum pemain berusia 18 tahun, Jamal Musiala dan Leroy Sane mencetak gol selepas rehat di hadapan 34,000 peminat di Red Bull Arena Leipzig.

Tuan rumah kemudian bangkit dengan gol menakjubkan pemain tengah, Konrad Laimer sebelum pengganti Lewandowski, Eric Maxim Choupo-Moting mematikan terus semangat Leipzig dengan gol keempat.

Ketua jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann, yang meletak jawatan dari Leipzig selepas dua tahun mengemudi kelab itu untuk mengendalikan Bayern musim ini, memuji pasukannya dengan menyifatkan kemenangan itu tonik terbaik menghadapi Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara, Rabu ini.

"Saya selalu gembira di sini, hari ini juga," kata Nagelsmann kepada Sky.

"Secara keseluruhannya baik, tetapi kami boleh beraksi dengan lebih bagus lagi."

Jurulatih Leipzig dari Amerika Syarikat, Jesse Marsch menuntut pemainnya bangkit segera menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Manchester City, Khamis ini.

"Pemain sudah peragakan aksi terbaik tetapi selalu sukar bermain menentang Bayern. Kami harus belajar daripada kekalahan ini dan bangkit segera ketika menentang Manchester City," kata Marsch.

Leipzig sudah tewas tiga daripada empat aksi liga musim ini. - AFP

Berita Harian X