Rabu, 8 September 2021 | 8:41am
Penyerang Perancis Antoine Griezmann meledak dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Finland pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di Lyon. - Foto AFP
Penyerang Perancis Antoine Griezmann meledak dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Finland pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di Lyon. - Foto AFP

Griezmann cetus kebangkitan Perancis

PARIS: Juara bertahan Perancis menewaskan Finland 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia hasil jaringan Antoine Griezmann.

Keputusan itu menamatkan deretan lima perlawanan tanpa kemenangan Perancis manakala Scotland masih mempunyai peluang selepas menewaskan Austria 1-0.

Dalam perlawanan lain, Belanda turut kekal di landasan untuk kejohanan di Qatar tahun depan apabila Memphis Depay meledak hatrik dalam kemenangan 6-1 ke atas Turki.

Perancis mendapat sokongan padu 57,000 penonton di Lyon di mana Griezmann, bergandingan dengan Karim Benzema, mencetus kebangkitan juara dunia itu.

Benzema membuat umpanan dengan sepakan tumit untuk Griezmann membukan jaringan pada minit ke-25.

Karim Benzema (kanan) diasak pemain pertahanan Finland, Kaan Karirinen. - Foto AFP
Karim Benzema (kanan) diasak pemain pertahanan Finland, Kaan Karirinen. - Foto AFP

Griezmann meledak gol ke-41 negaranya dengan menewaskan penjaga gol Finland Lukas Hradecky pada minit ke-54.

Selepas seri 1-1 menentang Ukraine dalam perlawanan sebelum ini, kemenangan ke atas Finland mencetus harapan buat Perancis yang tersingkir di peringkat 16 terakhir Euro 2020.

"Kami tidak melakukan semuanya dengan baik tetapi kami mendapat semula keyakinan kami.

"Kini nasib bergantung kepada kami dan kami perlu melangsaikan tugas pada November," kata pengendali Perancis Didier Deschamps.

Reaksi pengendali Perancis, Didier Deschamps. - Foto AFP
Reaksi pengendali Perancis, Didier Deschamps. - Foto AFP

Scotland meraih tiga mata di Vienna untuk meneruskan harapan mereka layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Qatar tahun depan.

Penalti pemain kelahiran Australia Lyndon Dykes melonjak Scotland ke tangga kedua Kumpulan F, tujuh mata di belakang Denmark yang mengekalkan rekod 100 peratus selepas membelasah Israel 5-0.

Belanda turut berpesta gol dengan penyerang Barcelona, Depay meledak hatrik untuk gol ke-33 di peringkat antarabangsa.

Skuad kendalian Louis van Gaal mendahului Kumpulan G dengan perbezaan jaringan ke atas Norway yang menewaskan Gibraltar 5-1 - di mana Erling Braut Haaland turut meledak hatrik. - AFP

Penyerang Belanda, Memphis Depay (kiri) meledak hatrik ketika menentang Turki. - Foto AFP
Penyerang Belanda, Memphis Depay (kiri) meledak hatrik ketika menentang Turki. - Foto AFP

Berita Harian X