Rabu, 1 September 2021 | 7:18am
Bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane - Foto AFP
Bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane - Foto AFP

Kane tak bimbang reputasi tercalar

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane menegaskan "kesedarannya adalah jelas" selepas gagal memaksa perpindahan ke Manchester City.

Kane kembali ke sesi latihan pra musim agak lewat ketika dia cuba meyakinkan pengerusi Tottenham, Daniel Levy untuk melepaskannya bagi menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kapten England itu percaya dia ada perjanjian peribadi bersama Levy yang mebolehkan dia dijual sekiranya Tottenham gagal menang trofi dan tidak dapat bermain dalam Liga Juara-Juara musim lalu.

Kane tambah kecewa dengan kemarau trofi Tottenham yang berlarutan sehingga 13 tahun dan secara terbuka menyatakan keinginan meninggalkan kelab utara London itu sebelum bermula Euro 2020.

Bagaimanapun City enggan menerima permintaan Levy sebanyak £150 juta (RM857.63 juta) buat Kane dan minggu lalu pemain berusia 28 tahun memuat naik di Twitter bahawa dia akan kekal di Tottenham "musim panas ini."

Ditanya sama ada dia bimbang reputasinya tercalar, Kane memberitahu TalkSport: "Tidak, saya tidak fikir begitu. Semua orang yang terbabit dalam industri bola sepak tahu keluar masuk pemain dan saya tenang dengan situasi itu.

"Ia antara saya dan kelab, apabila anda tahu kebenarannya dan anda tahu apa yang berlaku, kesedaran anda adalah jelas.

"Saya melalui turun naik dan saya tahu ramai orang sedar saya adalah pemain profesional dan mendedikasikan kehidupan saya kepada permainan ini."

- AFP

Berita Harian X