Ahad, 29 Ogos 2021 | 1:47pm
Rozaimi (kanan) setuju tamat kontrak lebih awal bersama KDA FC musim ini.
Rozaimi (kanan) setuju tamat kontrak lebih awal bersama KDA FC musim ini.

KDA, Rozaimi setuju tamat kontrak

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) secara rasmi mengumumkan persetujuan bersama penamatan kontrak penyerang Rozaimi Abdul Rahman selepas lapan bulan beraksi musim ini.

Kenyataan itu dihebahkan melalui laman rasmi KDA FC hari ini selepas tercetusnya tanda tanya mengenai ketiadaan kelibat pemain berusia 28 tahun kelahiran Sabah ini bersama skuad kendalian Aidil Sharin Sahak sejak beberapa bulan lalu.

"KDA FC telah mencapai persetujuan bersama Rozaimi Abdul Rahman untuk menamatkan kontrak pemain lebih awal selepas lapan bulan bersama pasukan Liga Super KDA FC.

"Penamatan kontrak ini adalah penyelesaian akhir atas permohonan pemain tersebut selepas kelab memberi peluang tempoh dua bulan buat Rozaimi untuk menyelesaikan hal peribadinya sebelum beliau memutuskan haluan kerjaya bola sepaknya.

"Pihak pengurusan kelab menghormati pendirian beliau walaupun kudrat dan pengalamannya ditagih di bahagian serangan.

"Terima kasih dan selamat maju jaya dalam kerjaya bola sepak di masa hadapan!" menurut kenyataan KDA FC itu.

Rozaimi sebelum ini diikat KDA FC selama satu musim bagi mengisi jentera serangan pasukan selepas empat tahun bersama skuad Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Sepanjang aksinya musim ini, beliau sudah membuat sembilan penampilan, 264 minit aksi permainan dan satu hantaran menghasilkan gol.

Penampilan terakhir Rozaimi ketika membantu KDA FC meraih kemenangan ke atas Melaka United FC pada 30 April lalu.

Sementara itu melalui media sosial semalam, turut tersebar ucapan ringkas dipercayai milik Rozaimi yang mengucapkan terima kasih kepada KDA FC.

"Terima kasih KDA FC, semoga kita berjumpa lagi," katanya.

Berita Harian X