Jumaat, 27 Ogos 2021 | 11:07pm
Pemain JDT, meraikan kemenangan Liga Super selepas mengalahkan Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pemain JDT, meraikan kemenangan Liga Super selepas mengalahkan Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JDT juara Liga Super

ISKANDAR PUTERI: Jaringan hatrik Bergson Da Silva menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) dimahkotakan juara Liga Super untuk musim kelapan berturut-turut selepas membenam Sri Pahang FC 3-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Benjamin Mora menghimpun 51 mata berbaki dua perlawanan dan sukar dipintas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) yang terpaksa merelakan kejuaraan liga menjadi milik skuad Harimau Selatan.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah beraksi dengan permainan berintensiti tinggi apabila menguasai kawasan tengah menerusi gandingan Safiq Rahim dan Leandro Velazquez yang kerap menjana gerakan berbahaya ke kubu skuad Tok Gajah.

Pemain JDT, Bergson Da Silva meraikan jaringan ketiganya ketika menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pemain JDT, Bergson Da Silva meraikan jaringan ketiganya ketika menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Penguasaan itu memberi kelebihan buat anak didik Mora apabila seawal minit kelapan berjaya merobek gawang skuad kendalian Dollah Salleh selepas Bergson bertindak menggelecek dua pemain pelawat sebelum merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Muhammad Daniel Wafiuddin Sa'duri.

Bergson sekali mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-41 selepas melambungkan bola memerangkap Muhammad Daniel yang sekadar melihat bola menerjah jaring berpunca daripada bola umpanan Safiq Rahim di kawasan tengah.

Muhammad Daniel tewas buat kali ketiga apabila Bergson mencipta hatrik pada minit ke-44 selepas meledak jaringan berpunca daripada bola umpanan Gonzalo Cabrera dan jaringan itu membolehkan dia mengumpul 23 gol untuk memintas pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun yang kurang satu gol.

Bersambung babak kedua, tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-48 namun percubaan Arif Aiman Hanafi yang sempat menyentuh bola tatkala dicabar Muhammad Daniel hanya sekadar sipi dari gawang gol.

Bergson hampir menambah jaringan keempat peribadi pada minit ke-61 namun bola rembatan deras di dalam kotak penalti hasil umpanan Natxo Insa sekadar terkena palang gol.

Pelawat yang ketinggalan 0-3 berusaha memburu gol namun ketumpulan barisan serangan yang diterajui Kenny Athiu memudahkan tugas benteng skuad Harimau Selatan menghalang gerakan skuad Tok Gajah.

Malah peluang terbaik untuk mencipta gol pada minit ke-83 menerusi bola sepakan percuma Manuel Hildago dari jarak 25 meter gagal mengundang cemas sebaliknya terus ke dakapan penjaga gol, Farizal Marlias dan kedudukan 3-0 hasil jaringan Bergson kekal memihak JDT.

Berita Harian X