Khamis, 19 Ogos 2021 | 10:14pm
Pemain Kedah dalam satu aksi Liga Super sebelum ini. - Foto ihsan Kedah Darul Aman FC.
Pemain Kedah dalam satu aksi Liga Super sebelum ini. - Foto ihsan Kedah Darul Aman FC.

Kedah jangka berdepan aksi sukar bertemu TFC

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak menjangkakan cabaran sengit bakal dihadapi skuad bimbingannya apabila bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bertemu Terengganu FC (TFC) esok.

Katanya, ia bukan tugas mudah buat skuadnya untuk bertemu TFC kali ini kerana faktor perjalanan jauh sekali gus memerlukan rehat mencukupi, namun berharap kejayaan membenam Penang FC pada Selasa lalu akan terus membakar semangat pemainnya.

"Pun begitu, saya juga tidak mahu pemain terlalu tertekan dengan reputasi pihak lawan yang berjaya memberi saingan cukup hebat kepada pasukan lain dan kini menduduki tangga kedua liga. Ini kerana ia boleh menjejaskan fokus dan rentak permainan pada perlawanan nanti.

"Saya sedar kami akan menerima saingan sengit apabila beraksi di sana nanti. Namun saya mahu pemain terus fokus dan beraksi dengan penuh semangat seperti dirancangkan bagi membawa pulang mata nanti," katanya.

Aidil dalam masa sama turut meluahkan rasa lega apabila pemain pertahanan tengah, Renan Alves yang tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang Penang FC sebelum ini, akan kembali memperkuatkan pasukan.

"Alves adalah pemain tonggak kami dan kita boleh lihat tanpa aksinya pada perlawanan lalu, kami menghadapi sedikit kesukaran. Kami perlukan dia dari segi fizikal di dalam kotak penalti. Tugas saya adalah memberi motivasi tambahan untuk dia lebih bersedia menghadapi perlawanan Sabtu ini," katanya.

Kedah yang masih ada tiga perlawanan tertunda, ketika ini berada di tangga keempat liga selepas mengumpul 29 mata hasil 15 perlawanan manakala TFC di tangga kedua dengan menghimpun 37 mata selepas 18 aksi.

Berita Harian X