Isnin, 9 Ogos 2021 | 8:15pm
Aksi pasukan JDT (jersi biru) menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.
Aksi pasukan JDT (jersi biru) menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

Mora belum mahu fikir pasal kejuaraan

JOHOR BAHRU: Walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) berada di landasan merangkul kejuaraan Liga Super untuk kali kelapan berturut-turut tapi pengendalinya, Benjamin Mora tetap enggan memikirkan kejuaraan itu sebaliknya ingin fokus baki empat perlawanan liga.

Mora tidak menafikan kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi memberi keyakinan buat dirinya dan skuad Harimau Selatan merealisasikan sasaran ditetapkan pengurusan kelab berkenaan.

"JDT sering berada di landasan untuk kejuaraan kerana itu misi kami iaitu mempertahankan kejuaraan yang kami raih pada tujuh musim berturut-turut. Tapi kami kena capai sasaran dengan memenangi setiap perlawanan yang diharungi.

"Ia bukan tugas mudah tatkala memenangi lima perlawanan berturut-turut dengan jadual yang padat tapi kemenangan itu beri lebih keyakinan untuk meneruskan momentum kemenangan sehingga penghujung liga.

"Kami tidak boleh terlalu selesa kerana pasukan seperti Selangor FC, Terengganu FC dan Kedah (Darul Aman FC) yang masih belum beraksi selepas mereka dikuarantin pasti akan memberi cabaran buat JDT dan kami harus kekalkan rentak permainan untuk capai kemenangan," katanya.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto, pengendali kelahiran Mexico itu gembira dengan corak permainan JDT yang menguasai keseluruhan aksi tanpa memberi ruang kepada skuad Badak.

Katanya, sepanjang 90 minit perlawanan, pemain JDT tampil agresif dengan mempamer aksi bertenaga dan bermain dengan intensiti tinggi selain menyerang di setiap posisi terutama barisan pemain tengah kerap menjana gerakan berbahaya.

Beliau juga berpuas hati dengan penampilan pertama pemain import dari Indonesia, Syahrian Abimanyu yang masuk pada minit ke-70 menggantikan Safiq Rahim apabila tidak kekok mengawal posisi tengah.

"Sebelum ini, Syahrian bergelut untuk mendapat tahap kecergasan terbaik dan dia beraksi dengan baik pada aksi malam ini (malam tadi) malah menepati corak permainan yang dikehendaki dalam pasukan JDT," kata Mora.

Berita Harian X