Sabtu, 31 Julai 2021 | 11:40pm
Safawi Rasid (kiri) berusaha untuk melepasi kawalan pemain Perak FC, Adib Abdul Raop pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. JDT menang 5-0. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.
Safawi Rasid (kiri) berusaha untuk melepasi kawalan pemain Perak FC, Adib Abdul Raop pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. JDT menang 5-0. - Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

JDT belasah Perak FC

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar kemenangan hatrik untuk kekal selaku pendahulu Liga Super selepas membelasah Perak FC, 5-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, JDT hanya berbaki enam perlawanan lagi untuk mencipta sejarah dalam pemburuan menjadi juara untuk musim kelapan berturut-turut.

Dalam aksi malam tadi, pengendali JDT Benjamin Mora terpaksa merombak di pertahanan selepas Mauricio Dos Santos tidak dapat beraksi akibat kecederaan dan tempatnya diganti oleh Adam Nor Azlin bergandingan bersama Shane Lowry.

Sindrom lambat panas terus ditampilkan JDT apabila hanya pada minit ke-20 baru gol menjelma selepas bola umpanan Gonzalo Cabrera membolehkan Bergson Da Silva menyusup masuk ke dalam kotak penalti pelawat sebelum merembat tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Muhammad Azri Ab Ghani.

Corak permainan berkampung yang diamalkan skuad bimbingan Chong Yee Fatt menyukarkan tuan rumah menambah jaringan walaupun menguasai perlawanan dengan kedudukan 1-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah tidak menunggu lama apabila mencipta jaringan pada minit ke-46 menerusi Bergson lagi sekali apabila menyudahkan bola umpanan Safawi Rasid.

Bergson mencipta hatrik dalam perlawanan itu pada minit ke-58 selepas menerima bola umpanan jauh Matthew Davies.

Skuad Harimau Selatan terus menambah derita skuad The Bos Gaurus pada minit ke-83 selepas benteng pertahanan pelawat gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan kesempatan itu diambil Cabrera yang merembat bola kencang untuk meletak kedudukan 4-0.

Ketika aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti dan Cabrera mudah menewaskan Muhammad Azri untuk kedudukan muktamad 5-0.

Berita Harian X