Sabtu, 10 Julai 2021 | 10:26am
Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma. - Foto AFP.
Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma. - Foto AFP.

EURO: Donnarumma bakal hantui England

LONDON: Ketika berusia 10 tahun, ketinggian Gianluigi Donnarumma hampir mencecah enam kaki (1.82 meter), membuatkan dia sudah biasa dengan perhatian orang ramai.

Penjaga gol Itali itu mengharungi kerjaya cemerlang, bermula dengan AC Milan pada usia 16 tahun dan menjadi pelapis kepada Gianluigi Buffon - salah seorang pemain terhebat pernah dilahirkan Itali.

Dalam pertembungan final Euro 2020 menentang England di Wembely awal pagi Isnin ini waktu Malaysia, Donnarumma memberikan keyakinan buat peminat Itali.

Dia mengungguli semua empat penentuan penalti setakat ini, walaupun percubaannya sendiri gagal ketika Milan menewaskan kelab Portugal Rio Ave dalam kelayakan Liga Europa di awal musim lalu.

Dalam skuad Itali, Donnarumma adalah nama besar - satu-satunya pemain dalam kesebelasan utama mereka yang dinobatkan sebagai terbaik dunia pada posisinya.

Dia baru saja menandatangani kontrak lima tahun bersama Paris Saint-Germain (PSG), seminggu selepas tamat perjanjiannya dengan Milan.

Penjaga gol berusia 22 tahun itu belum beraksi untuk kelab baharunya, tetapi dengan persembahannya di Euro 2020, Donnarumma mula digelar Tangan Emas oleh peminat PSG.

Bagaimanapun pentas bola sepak antarabangsa tidak begitu manis untuk dikenang Donnarumma.

Dia tampil di Kejuaraan Eropah Bawah 21 tahun 2017 dengan fikiran terganggu apabila ejennya Mino Raiola - yang turut mewakili Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba - berusaha mendapatkan gaji lebih tinggi buatnya yang baru berusia 18 tahun ketika itu.

Akibatnya dia mengharungi kejohanan yang mengecewakan dan peminat menggelarnya "Dollarumma".

Dia dilahirkan di Castellammare di Stabia, bandar yang terletak di tenggara Naples. Donnarumma dan abangnya, Antonio mendapat inspirasi daripada pakcik mereka yang bermain dalam liga tempatan.

"Dia amat penting buat saya. Saya baru lima tahun ketika pakcik saya, yang turut melatih abang saya, membawa saya ke padang. Ketika itu minat saya menjadi penjaga gol bermula.

"Saat paling indah ialah ketika hari pertama saya di sana. Pakcik saya menendang bola dan saya cuba menangkapnya. Saya tidak pernah takut, saya jenis kering hati dan mungkin itu sebab saya memilih berada di gawang.

"Saya membesar dekat Pompeii dan berkongsi bilik dengan kakak saya. Dalam bilik saya ada poster Buffon dan Dida - mereka idola saya," kata Donnarumma.

Antonio yang sembilan tahun lebih tua, juga seorang penjaga gol yang bagus. Dia menyertai Milan dengan adiknya tetapi gagal menyerlah dan dipinjamkan ke kelab di liga lebih rendah kepada Gubbio dan Bari.

- AGENSI

Berita Harian X