Khamis, 17 Jun 2021 | 10:39pm
Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan dekat Budapest, Hungary. - EPA
Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan dekat Budapest, Hungary. - EPA

EURO: Jerman mahu 'diamkan' Ronaldo

HERZOGENAURACH, Jerman: Jerman menyasarkan untuk mengekang Cristiano Ronaldo tengah malam Ahad ini dengan tuan rumah kini tertekan untuk menewaskan penyandang juara, Portugal seterusnya kembali menghidupkan peluang dalam kempen Euro 2020.

Selepas tewas 1-0 kepada Perancis dalam saingan pembukaan menerusi jaringan sendiri Mats Hummels, Jerman perlukan kemenangan dalam Kumpulan F - dan menyekat Ronaldo menambah jumlah jaringan hebatnya.

Bintang Portugal itu kini meledak rekod 11 gol dalam lima Kejohanan Eropah selepas dua jaringan ketika Portugal menang 3-0 mengatasi Hungary di Budapest.

Penyerang Juventus itu tidak pernah menjaringkan gol berdepan Jerman dalam empat percubaan, terbaharu ketika Portugal tewas 4-0 pada Piala Dunia 2014.

Jerman berharap akan sekali lagi menyekatnya di Allianz Arena, Munich.

"Saya tidak perlukan video semua 'jaringan terbaiknya'," kata pertahanan tengah Matthias Ginter yang diberikan tugasan mengekang Ronaldo.

"Saya sudah menentangnya sekali atau dua bersama Dortmund.

"Dia masih seorang daripada penyerang terbaik dunia dan kini sudah meledak dua gol, jadi anda perlu berhati-hati, tapi kami tidak sabar menentangnya." - AFP

Berita Harian X