Khamis, 17 Jun 2021 | 4:35pm
Cabrera tidak disenaraikan beraksi di Liga Juara-Juara Asia di Bangkok.
Cabrera tidak disenaraikan beraksi di Liga Juara-Juara Asia di Bangkok.

Cabrera tiada dalam senarai JDT

JOHOR BAHRU: Tiada kelibat pemain sayap kiri Johor Darul Takzim (JDT), Gonzalo Cabrera bagi mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang diadakan di Bangkok, Thailand bermula Selasa ini.

Menerusi kenyataan Johor Southern Tigers, juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu turut tidak menyenaraikan Shahrul Saad, sebaliknya meletak pemain naturalisasi, Guilherme de Paula dalam skuad itu.

Skuad Harimau Selatan akan memulakan kempen ACL di dalam Kumpulan G menentang kelab dari Jepun, Nagoya Grampus , Selasa ini dan kemudian menentang kelab dari Thailand, Ratchaburi FC (Jumaat depan) dan aksi terakhir pusingan pertama menentang kelab dari Korea Selatan, FC Pohang Steelers, pada 28 Jun ini dengan kesemua perlawanan diadakan di Stadium Rajamangala di Bangkok.

Bagi mencukupkan kuota empat pemain asing seperti yang dibenarkan Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), JDT menyenaraikan Leandro Velazquez dan pertahanan Australia, Shane Lowry di samping Bergson Da Silva dan Mauricio Nascimento.

Turut tersenarai dalam skuad Harimau Selatan adalah pemain JDT II, Chia Ruo Han.

Apa yang pasti JDT bakal berdepan tugas getir tatkala akan berdepan barisan pemain hebat yang ada di dalam pasukan Nagoya Crampus FC, Ratchaburi FC dan FC Pohang Steelers namun berdasarkan pengalaman selepas tiga musim beraksi di pentas kelab elit Asia bukan alasan untuk skuad bimbingan Benjamin Mora mempamerkan aksi terbaik.

Kelebihan beraksi di Thailand tatkala tidak berdepan dengan keadaan cuaca yang sejuk berkemungkinan akan memberi sedikit kelebihan untuk anak didik Mora mengharungi kempen tersebut dan diharap mampu melepasi cabaran untuk layak ke pusingan 16 terbaik pada saingan kali ini.

Berita Harian X