Selasa, 8 Jun 2021 | 5:39pm
Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman. - Foto ihsan Facebook PFAM.
Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman. - Foto ihsan Facebook PFAM.

Sherman, Agba terbaik bagi April

KUALA LUMPUR: Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman dan pemain Sarawak United FC, Uche Agba dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Liga Super dan Liga Perdana Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) - asiana.my bagi edisi April 2021.

Kpah Sherman menerima undian tertinggi iaitu sebanyak 40.01 peratus daripada undi keseluruhan atau 15,730 undi mengalahkan empat calon lain iaitu Hakimi Abdullah dari Terengganu FC yang mendapat 29.83 peratus (11,460 undi).

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson Da Silva pula memperoleh 5,389 undi manakala Ifedayo Olusegun dari Selangor FC mendapat 4,537 dan pemain Penang FC, Casagrande meraih 1,316.

Ini adalah kemenangan pertama buat Sherman apabila sebelum ini dia hanya tercalon sebagai pemain terbaik bulanan Liga Perdana bagi edisi Mei 2018 bersama pasukan MISC-MIFA.

"Terima kasih kepada pihak PFAM yang mencalonkan saya dan tidak lupa juga kepada keluarga saya serta penyokong KDA FC yang menterjemahkan sokongan anda kepada undian."

"Anugerah ini ditujukan kepada anda semua, tanpa sokongan anda hal ini tidak mungkin berlaku," kata Sherman.

Sementara itu, Agba mengungguli undian Liga Perdana dengan menerima undian tertinggi sebanyak 55.37 peratus daripada undi keseluruhan atau 14,609 undi, mengatasi Jordan Mintah dari Terengganu FC II yang mendapat 7,922 undi.

Zaquan Adha dari Negeri Sembilan FC pula meraih 2,708 undi manakala Fernando Rodriguez dari JDT II (720) dan George Attram dari Selangor FC II (452).

Ini kemenangan kedua Agba selepas muncul sebagai pemain terbaik Liga Perdana bagi edisi Julai 2019 bersama pasukan PDRM.

"Kemenangan hari ini mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan yang tidak berbelah bagi dari keluarga, rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan para pegawai pasukan. Semoga tuhan merahmati anda semua," kata Agba.

Pemenang menerima sebuah trofi sumbangan asiana.my selain wang tunai berjumlah RM1,500 (Liga Super) dan RM500 (Liga Perdana) dan minuman protein tajaan OPI.

Berita Harian X