Selasa, 8 Jun 2021 | 10:35am
Penyerang Jepun, Takumi Minamino (kiri) menjaringkan gol ketika berdepan Tajikistan pada kelayakan Piala Dunia di Suita, Osaka. - AFP
Penyerang Jepun, Takumi Minamino (kiri) menjaringkan gol ketika berdepan Tajikistan pada kelayakan Piala Dunia di Suita, Osaka. - AFP

Syria sertai Jepun hampiri slot Piala Dunia

DOHA: Syria menyertai Jepun di pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia Asia selepas dua jaringan babak pertama Mardak Mardikian membantu mereka menewaskan Guam 3-0 dan mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A hari ini.

Kemenangan ketujuh Syria memastikan mereka antara 12 pasukan bersaing untuk fasa seterusnya bagi merebut empat tempat dari Asia di temasya tahun depan di Qatar. Pasukan kelima dari benua berkenaan boleh layak menerusi play-off antara benua.

Juga dalam Kumpulan A, China menewaskan Filipina 2-0 untuk kemenangan keempat dalam enam aksi namun dengan 13 mata, mereka ketinggalan lapan mata di belakang Syria dan hanya boleh berharap mampu menjadi satu daripada empat pasukan kedua terbaik.

Dalam Kumpulan C, Iraq membelasah Kemboja 4-1 untuk kedudukan teratas dengan 14 mata daripada enam perlawanan manakala Iran mengatasi Bahrain 3-0 untuk tempat kedua, dua mata di belakang pendahulu.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghidupkan peluang dalam Kumpulan G dengan kemenangan 3-1 mengatasi Thailand di Dubai.

UAE bagaimanapun ketinggalan di belakang Vietnam yang menewaskan Indonesia 4-0 untuk mengumpul 14 mata.

Sementara itu Australia meneruskan dominasi mereka dengan kemenangan 5-1 mengatasi Taiwan manakala Uzbekistan terus kekal bersaing apabila membelasah Singapura 5-0.

Pada saingan awal, Jepun melepaskan gol pertama dalam kelayakan Piala Dunia tetapi bangkit untuk menewaskan Tajikistan 4-1.

Jepun bagaimanapun sudah mengesahkan tempat dari Kumpulan F dengan Tajikistan di kedudukan kedua. - AFP

Berita Harian X