Isnin, 24 Mei 2021 | 10:36pm
Sergio Ramos mengumpul penampilan terbanyak untuk Sepanyol dengan 180 kap dan menduduki tangga kelapan dalam senarai penjaring negara itu. - Foto AFP
Sergio Ramos mengumpul penampilan terbanyak untuk Sepanyol dengan 180 kap dan menduduki tangga kelapan dalam senarai penjaring negara itu. - Foto AFP

Enrique pilih minit, bukan pengalaman

MADRID: Kapten Sergio Ramos digugurkan daripada skuad Sepanyol untuk EURO 2020, dan pengendalinya Luis Enrique memanggil Eric Garcia yang kurang pengalaman.

Ramos mengumpul penampilan terbanyak untuk Sepanyol dengan 180 kap dan menduduki tangga kelapan dalam senarai penjaring negara itu.

Bagaimanapun dalam musim yang dibelenggu kecederaan kali ini, dia hanya tampil 21 kali untuk Real Madrid termasuk 15 aksi La Liga.

Menurut Enrique, dia memberitahu Ramos melalui telefon semalam berkenaan pengguguran nama pemain 35 tahun itu daripada skuad 24 pemainnya.

"Saya ingin menyampaikan mesej kepada Sergio Ramos, kapten kami, yang tidak berada dalam senarai kerana dia tidak beraksi atau berlatih sejak Januari.

"Ia keputusan yang sukar tetapi itu adalah yang terbaik untuk pasukan," kata Enrique.

Ramos kecewa dengan keputusan itu tetapi terpaksa menerima hakikat yang dia perlu kembali mencapai tahap kecergasan terbaiknya.

"Memang menyakitkan kerana tidak dapat membantu pasukan dan bermain untuk Sepanyol, tetapi dalam hal ini perkara terbaik ialah berehat, pulih sepenuhnya dan kembali tahun depan seperti selalu.

"Memang kecewa tidak dapat mewakili negara, tetapi saya perlu jujur dan ikhlas.

"Saya doakan kejayaan buat semua rakan sepasukan dan saya harap kita akan mengharungi EURO yang hebat. Saya akan menyokong dari rumah," kata Ramos.

Ramos menjalani pembedahan lutut pada Januari dan hanya beraksi dua kali dalam saingan La Liga tahun ini.

Skuad Sepanyol

Penjaga gol: Unai Simon (Athletic Bilbao), David de Gea (Manchester United), Robert Sanchez (Brighton)

Pertahanan: Pau Torres (Villarreal), Aymeric Laporte (Manchester City), Diego Llorente (Leeds United), Eric Garcia (Manchester City), Jordi Alba (Barcelona), Jose Gaya (Valencia) Cesar Azpilicueta (Chelsea)

Tengah: Sergio Busquets (Barcelona) Rodri (Manchester City), Thiago Alcantara (Liverpool), Pedri (Barcelona), Marcos Llorente (Atletico Madrid), Koke (Atletico Madrid), Fabian Ruiz (Napoli)

Penyerang: Gerard Moreno (Villarreal), Ferran Torres (Manchester City), Mikel Oyarzabal (Real Sociedad), Alvaro Morata (Juventus), Dani Olmo (RB Leipzig), Pablo Sarabia (Paris Saint-Germain), Adama Traore (Wolves)

- AGENSI

Berita Harian X